KUALA LUMPUR: Haziq Abdullah  Abdul Aziz berada di terminal pelepasan antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika ditahan polis sekitar jam 6 petang semalam.

Beliau ditahan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan jenayah, Bukit Aman.

Berdasarkan tiket dia difahamkan hendak terbang ke Manila.

Tidak pula diketahui tujuannya ke negara Filipina.

Polis mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan.

Haziq, 27, lelaki berasal dari Kuching, individu yang mengaku terlibat dalam video intim bersama lelaki mirip seorang menteri yang menggemparkan arena politik negara.

Haziq, ketua Angkatan Muda keadilan Santubong dalam satu laporan polis pada Khamis mendakwa segala kenyataannya tentang video intim berkenaan adalah benar.

Dalam kenyataan ringkas di dalam laman Facebook miliknya, Haziq turut memuat naik gambar salinan laporan polis di Balai Polis Kelana Jaya.

“Awak boleh panggil saya apa pun tetapi saya tidak pernah dilahirkan sebagai seorang penipu,” tulisnya ringkas.

Haziq ialah Ketua Setiausaha Sulit  Kanan Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

“Berdasarkan tiket penerbangan, suspek dijadual berlepas ke Manila, Filipina sebelum ditahan oleh sepasukan pegawai dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dalam satu kenyataan.

Menurut Huzir, kes disiasat mengikut Seksyen 292, 504, 377B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Beberapa  hari lepas klip video tular memaparkan dua lelaki berada di atas ranjang dalam keadaan bogel melakukan aksi seksual dengan seorang daripadanya didakwa kelihatan menyerupai menteri Kabinet.

Kejadian itu menurut dakwaan Haziq berlaku di sebuah hotel di Sandakan ketika pilihanraya kecil Sandakan.

Menurut Huzir dalam satu kenyataan malam tadi, siasatan ke atas Haziq dibuat mengikut empat kesalahan.

Katanya, empat siasatan berkenaan adalah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 292 kanun yang sama iaitu menjual dan sebagainya buku-buku dan sebagainya yang lucah yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Seksyen 377B kanun yang sama iaitu melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan luar tabii yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan hendaklah juga dikenakan hukuman sebat,” katanya dalam kenyataan itu.

Siasatan itu, jelasnya,  turut dibuat mengikut Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Katanya, sekiranya bersalah hukuman itu boleh dikenakan dengan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.