BINTULU: Polis menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam kes mencuri beg tangan seorang wanita di sebuah pasar raya di Medan Raya, yang tular di media sosial, semalam.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili, berkata suspek pertama berusia 27 ditahan oleh orang awam di lokasi kejadian selepas mangsa seorang wanita berusia 56 tahun, menjerit meminta bantuan sejurus suspek mencuri beg miliknya yang diletakkan di atas meja makan di pasar raya berkenaan.

“Suspek melepas beg tangan mangsa ketika melarikan diri sebelum berjaya ditangkap oleh orang awam,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, polis menerima panggilan kes itu pada jam 3.45 petang dan terus bergegas ke lokasi kejadian untuk menahan suspek.

Katanya, rakan suspek berusia 27 tahun pada mulanya berjaya melarikan diri menggunakan motosikal ketika kejadian, namun menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu selepas kejadian itu.

Video salah seorang suspek yang dipercayai terbabit dalam kes itu tular di Facebook dan WhatsApp petang tadi dan berlaku ketika mangsa sedang makan bersama suami dan anak mereka di medan selera di dalam pasar raya terkenal itu. – BERNAMA