KUCHING: Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani menafikan terdapat sebarang elemen salah guna kuasa semasa pemeriksaan dijalankan di rumah ayah Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Beliau menegaskan bahawa pemeriksaan yang dijalankan adakah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Menurut Awang, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching telah menerima arahan daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman semalam pada jam 3.39 petang untuk mengesan Haziq dan merakam percakapan beliau serta keluarganya bagi siasatan yang dijalankan berhubung laporan polis yang telah dibuat di IPD Kajang.

“Siasatan kes tersebut adalah kes yang boleh ditangkap tanpa waran dan disiasat di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

“Selain itu siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menjelas lanjut, Awang berkata IPD Kuching telah mengarahkan sepasukan polis terdiri daripada dua pegawai kanan dan tiga pegawai rendah ke rumah Abdul Aziz pada lebih kurang 5.20 petang semalam bagi mengesan anaknya, Haziq bagi tujuan membantu siasatan.

Katanya semasa tiba, pasukan polis yang menjalankan tugas tersebut percaya ada penghuni di rumah berkenaan kerana terdapat kenderaan diletakkan di tempat letak kereta rumah tersebut.

Bagaimanapun, katanya pasukan polis telah memanggil penghuni rumah selama beberapa minit agar membuka pintu pagar bagi membenarkan mereka masuk tetapi tidak mendapat jawapan dari penghuni.

Oleh itu, beliau memberitahu pihak polis mengambil keputusan masuk melalui pintu pagar yang tidak berkunci dan sebaik sampai di pintu rumah dan memanggil penghuni keluar, barulah Abdul Aziz muncul dan membuka pintu.

“Pegawai kanan polis yang mengetuai pemeriksaan telah memperkenalkan diri sebagai polis dan menunjukkan kad kuasa polis serta memaklumkan tujuan kehadiran mereka.

“Kesemua mereka dijemput masuk oleh Abdul Aziz, isteri dan kakak iparnya.

“Malahan mereka telah berikan kerjasama yang baik termasuk membenarkan polis memeriksa rumah untuk mengesan Haziq dan polis turut merakam percakapan Abdul Aziz di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah di dalam rumah tersebut,” katanya.

Awang berkata setelah selesai tugasan, satu laporan polis telah dibuat di IPD Kuching oleh pegawai kanan yang mengetuai pemeriksaan berkenaan pada jam 7.09 malam hari sama.

Pada masa sama, beliau turut mengesahkan menerima laporan yang dibuat oleh bapa Haziq pada jam 1.13 pagi hari ini berkenaan dakwaan pencerobohan rumahnya di Petra Jaya oleh sepasukan polis dari Bukit Aman.

Ayah Haziq hari ini dilaporkan mendakwa pihak polis menceroboh rumahnya.

Abdul Aziz, 53, yang membuat laporan berhubung kejadian itu di balai polis daerah Kuching berkata dia disoal tentang lokasi anaknya dan latar belakang keluarganya.

Haziq menjadi tumpuan selepas mendakwa dirinya merupakan salah seorang individu dalam klip video yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

Sementara itu, polis kini dilaporkan sudah menangkap Haziq yang mengaku dirinya dalam video seks sejenis mirip menteri yang tersebar baru-baru ini.

Haziq ditangkap polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) petang tadi semasa mahu berlepas.