MIRI: Kemeriahan perayaan Hari Raya Aidilfitri diteruskan lagi pada raya ke-9, hari ini di Miri dengan kehadiran YAB Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang mengadakan kunjungan rumah terbuka ke beberapa kediaman ahli GPS, ketua masyarakat serta ahli perniagaan bermula pagi hingga ke petang semalam.

Abang Johari bersama rombongan disambut mesra dan meriah oleh tuan rumah dan ahli keluarga serta penduduk setempat yang berbilang kaum dan bangsa.

Dalam pada itu, beliau juga dipersembahkan dengan pencak silat dari Rumpun Silat Sarawak bahagian Miri, paluan kompang dan persembahan dari kumpulan Gambus Api.

Pelbagai juadah dihidangkan kepada pengunjung seperti sate, ketupat, lemang, rendang, dan pelbagai kuih-muih beraneka rasa.

YAB Ketua Menteri turut diiringi isterinya Datin Patinggi Datuk Juma’ani Tuanku Bujang, Menteri Muda Jalan Pesisir Sarawak Datuk Julaihi Narawi, Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali,Menteri Muda, Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Penguang Manggil dan ADUN N74 Pujut, Dato’ Sebastian Ting.

Beliau memulakan kunjungan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di Kediaman Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Rosey Yunus bertempat di Jalan Bunga Raya Utama, Taman Bumiko, sekitar jam 10.30 pagi dan diikuti kediaman Temenggung Tuan Haji Abdul Rahman Fadzail bertempat di Piasau Jaya, Fasa 1, Jalan Sekolah Anchi dan kunjungan beliau berakhir pada sebelah pagi di kediaman Dato Haji Usop Sani Wahap bertempat di Jalan Pujut 7D, Miri.

Kunjungan diteruskan pada sebelah petang sekitar 2.30 petang di kediaman Dato Haji Ahmad Lai Bujang bertempat di Lorong 4D, Kampung Luak, seterusnya di kediaman ADUN N72 Lambir, Ripin Lamat bertempat di Jalan Acorus, Off Jalan Airport, Miri.

Abang Johari serta rombongan mengakhiri kunjungan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di Miri pada hari ini di kediaman Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni bertempat di Jalan Sim Kheng Hong, Off Jalan Bakam, Miri sebelum berangkat ke Kuching.