Setengah tahun dalam tahun 2019 menyaksikan kemeriahan pentas politik Sarawak makin dirasai oleh semua lapisan masyarakat di Sarawak. Kemunculan parti-parti baru serta parti-parti yang dijenamakan semula mengamit suasana persediaan parti politik yang ingin bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN-12) nanti. Kemunculan parti politik seperti PBK, PSB, PBDSB, Teras, STAR dan lain-lain lagi akan memberi tentangan kepada GPS dan PH di Sarawak semasa PRN-12 nanti.

Terbaru, S4S iaitu Sarawak For Sarawakians dilaporkan telah mendaftarkan pertubuhan itu sebagai sebuah entiti politik. Status terkini, S4S sedang menunggu kelulusan daripada Badan Daftar Pertubuhan (RoS) untuk kelulusan. Seperti yang dinyatakan oleh barisan kepimpinan S4S akan mendaftar sebagai sebuah entiti politik dengan cadangan nama Parti S4S atau Parti Saraexit. Persoalannya, adakah S4S yang dahulu dikenali sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dapat diterima oleh rakyat Sarawak sebagai sebuah entiti politik? Sejauh manakah naratif politik memperjuangkan hak Sarawak yang dilakukan oleh S4S diterima oleh rakyat Sarawak? Persoalan ini amat penting untuk dirungkai oleh S4S.

Sebagai sebuah parti politik, ia bukan mudah untuk memastikan ideologi serta perjuangan parti dapat diterima oleh rakyat atau pengundi yang akan memilih semasa pilihan raya. Apa yang penting, strategi pemasaran serta komunikasi politik harus mantap serta tersusun bagi memastikan sesebuah parti politik itu wujud dalam sesebuah pentas politik. Namun begitu, pentas politik Sarawak sudah pasti akan lebih meriah dengan kehadiran S4S ini sekiranya berjaya didaftarkan sebagai sebuah entiti politik.

Meninjau kewujudan parti-parti baharu serta parti yang dijenamakan semula atau diberi nafas baru sudah pasti ingin memastikan kehadiran mereka dapat memberikan impak dalam pentas politik Sarawak. Namun begitu, dari segi sejarah, kebanyakkan parti-parti politik yang baru ini tidak dapat memetakan diri dalam politik di Sarawak. Ini kerana, rakyat Sarawak lebih selesa mengekalkan status quo dengan menyokong parti yang sedia ada untuk memperjuangkan suara serta keluh kesah mereka.

Dalam konteks demokrasi yang progresif, kemunculan parti-parti politik yang baru ini dilihat menyuburkan lagi proses demokrasi dalam sesebuah negara. Dalam konteks pilihan raya, lebih banyak lagi parti-parti politik yang bertanding, lebih meriah lagi serta banyak lagi pilihan untuk rakyat yang menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pemilih. Dalam situasi pentas politik di Sarawak terkini, sudah pasti akan berlaku pertandingan lebih daripada tiga penjuru semasa PRN–12 nanti. Persoalannya, adakah parti-parti baharu atau yang dijenamakan semula ini akan diterima oleh rakyat Sarawak? Sama- sama kita renungkan.

Ironinya, sebagai rakyat yang telah mendaftar sebagai pengundi, kebanyakkan mereka telah membuat keputusan berkenaan dengan parti mana yang mereka akan pilih semasa pilihan raya diadakan. Bagi yang sentiasa mengikuti perkembangan politik negara, mereka lebih mengetahui parti politik mana yang boleh diberi kepercayaan untuk menyuarakan hak mereka. Pemilih yang telah membuat keputusan sebegini sudah pasti susah untuk menukar serta membuat pilihan lain walaupun pelbagai isu dimainkan semasa kempen pilihan raya.

Apa yang pasti, politik di negara kita kini makin hangat dengan pelbagai ragam melanda politik negara seperti yang terbaru berkenaan dengan video lucah pemimpin politik dalam kalangan pemimpin kerajaan persekutuan yang telah diviralkan. Iklim politik tohmahan ini memberi imej tidak baik kepada negara. Malahan, kerajaan PH mungkin semakin goyah dengan isu dalaman parti –parti politik yang membentuk gabungan PH. Ini pasti akan memberi kesan kepada persediaan PH dalam menempuh PRN-12 nanti. Tidak mustahil juga, PRU-15 akan diadakan lebih awal bagi menangani krisis dalam dalam PH. Apa-apa perkara boleh berlaku dalam politik. Sama-sama kita nantikan.

Pentas politik Sarawak pasti akan meriah dalam menuju ke medan perjuangan PRN-12 nanti. Harus di ingat, dalam berpolitik, parti-parti politik ini perlu cakna serta mengutamakan suara rakyat yang akan memilih mereka dalam pilihan raya. Kepentingan serta suara rakyat harus diutamakan dalam merencana strategi politik masing-masing. Sama- sama kita nantikan kemeriahan pentas politik Sarawak yang sudah pasti akan banyak lagi peristiwa menarik berlaku dalam enam bulan terakhir tahun 2019 ini.

Penulis merupakan penganalisis politik serta pensyarah dalam bidang sains politik di UNIMAS.