Dua hari yang panjang dan mendebarkan, tentunya bagi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Video yang disifatkan oleh PAS sebagai hanyir itu segera mendapat perhatian 32 juta rakyat Malaysia sejak ia beredar.

Pelbagai teori dikemukakan, termasuk teori konspirasi.

Di Malaysia, seks sebagai isu yang digunakan untuk menjatuhkan seseorang personaliti atau tokoh politik bukan baharu.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pernah dituduh atas dakwaan terbabit dalam kes liwat. Yang membuat tuduhan itu tidak lain daripada Perdana Menteri ketika itu dan sekarang, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Gambar hiasan

Anwar kecundang dan tersungkur di arena politik apabila kemudiannya dipecat oleh Dr Mahathir yang akhirnya menyaksikan kemunculan gelombang reformasi dan kemunculan PKR.

Kali ini, kisah seks sekali lagi muncul.

Adakah seks sudah menjadi ruji dalam politik Malaysia? Sejauh manakah seks dapat menjatuhkan seseorang pemimpin politik?

Perdana Menteri malam tadi berkata, bahawa beliau tidak percaya ketulenan video seks yang didakwa melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

“Saya tidak percaya perkara ini tulen. Sekarang, kita boleh buat banyak perkara dengan video dan gambar sekiranya kita pandai.

“Mungkin satu hari kamu akan lihat gambar saya pula macam itu,” katanya seperti dilapor media malam tadi.

“Kamu percaya (video seks itu)?

“Takkanlah bodoh macam itu,” katanya lagi.

Perdana Menteri berkata beliau yakin video itu dibuat oleh pihak yang mempunyai agenda politik.

“Semua benda macam ini kotorlah.

Lebih dahsyat lagi Ketua Angkatan Muda Keadilan PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz pada awal pagi semalam membuat pengakuan mendakwa dirinya lelaki dalam video tesebut.

Ini satu perbuatan yang cukup berani. Apakah yang menyebabkan beliau begitu berani membuat pengakuan itu?

Tidak banyak orang yang bersedia mendedahkan jika terbabit dalam adegan sedemikian.

Dr Mahathir betul dari segi ini.

“Biasanya orang yang (memang macam) itu pun malu juga. Ini tak malu kata ‘sayalah buat. Saya buat dengan menteri’.

Ya, apa tujuan beliau membuat pengakuan itu.

Menurut kisah yang dipaparkan, kejadian itu berlaku di sebuah hotel di Sandakan pada 11 Mei lalu.

Adegan ranjang membabitkan dua lelaki itu berlaku di sebalik audio berkaitan berita luar negara yang dipancarkan daripada saluran TV asing.

Namun, hakikat bahawa pengakuan oleh Haziq Abdul Aziz sesuatu yang amat mengejutkan.
Petang semalam Menteri Hal Ehwal Ekonomi menafikannya. Pemimpin PKR termasuk pemudanya mengutuk sekeras-kerasnya pengedaran video itu.

Azmin malah mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat tuduhan.

Pada awal pagi Haziq mendakwa dirinyalah individu di atas ranjang itu.

Kemudian melalui ‘jurucakapnya’’ – Pemuda PKR Santubong, beliau dikatakan menafikan.

Maksudnya, beliau tidak terbabit. Dan, individu dalam video itu bukan dia.

Ini mengingatkan kita kepada satu kontroversi membabitkan peguam beberapa tahun lalu,

“Bunyi macam saya, tetapi bukan saya.”

Kali ini mungkin saja, Nampak macam saya, tetapi bukan saya.

Memang menarik politik Malaysia.

Inilah realiti yang perlu dihadapi pemimpin politik dalam era pascakebenaran dan juga era ledakan media baharu. Pemimpin politik kelihatannya tidak lagi selamat.

Persoalannya, mengapa Haziq sampai membuat tuduhan bahawa Azmin tidak layak menjadi pemimpin dan mahu SPRM mengambil tindakan.

Adakah ini satu ancaman. Adakah ini satu hantaran mesej terselindung kepada Latheefa Koya yang dikaitkan dengan puak Azmin dalam PKR? Maksudnya, ini merupakan satu cabaran kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu itu?

Bagi sesetengah pihak ini merupakan permainan politik dalaman PKR membabitkan dua puak yang saling bersaing. Pihak lain pula mengaitkannya dengan jawatan Perdana Menteri yang bakal dikosongkan oleh Dr Mahathir.

Dr Mahathir dikatakan mahu Azmin menggantikan beliau, maka ini bakal menyekat laluan dihadapi Anwar. Maka, perkembangan politik terkini itu dikaitkan dalam konteks tersebut oleh sesetengah pihak.

Atau adakah mereka membacanya terlalu jauh?

Dengan pelbagai kenyataan, berita dan kononnya bukti disebarkan di alam maya, sukar sebenarnya untuk membuat penilaian. Ada ‘bukti’ yang bagai mengesahkannya, dan tidak kurang juga ‘bukti’ yang menidakkannya.

Sejauh manakah video itu sahih dan benar?

Belum ada kajian saintifik dilakukan oleh mana-mana pihak yang berwibawa, profesional dan berkecuali setakat ini.

Dalam konteks teknologi dan kemahiran canggih sekarang, apa-apa pun boleh berlaku.
Untuk sementara, anda boleh terus memerhatikan adegan politik dalam plot drama yang mungkin semakin mendebarkan selepas ini.