KUCHING:  Jumlah kes demam denggi di negeri ini semakin meningkat justeru orang ramai dinasihati supaya lebih berwaspada dan berusaha bersama-sama untuk menyekatnya.

Sebanyak 762 kes demam denggi direkodkan di Sarawak dari Januari hingga 10 Jun  lalu berbanding hanya 219 kes tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Jamilah Hashim  dalam satu kenyataan berkata, bahagian Kuching dilaporkan mempunyai kes tertinggi iaitu 264 dan diikuti oleh Miri (98 kes), Betong (95 kes), dan Sibu (73 kes).

Jelasnya lagi, ini diikuti Serian (46 kes), Kapit (44 kes), Samarahan (40 kes), Sarikei (38 kes), Bintulu (24 kes), Limbang (18 kes), Sri Aman (16 kes) dan Mukah (enam kes).

“Di bahagian Kuching, terdapat 37 kes demam denggi dilaporkan berlaku di Kampung Ajibah Abol sehingga 8 Jun lalu,” katanya.

Gambar hiasan

Beliau berkata walaupun cuaca panas dan hujan memainkan peranan dalam peningkatan kes demam denggi ini, namun, didapati kawasan yang tidak dipedulikan orang awam seperti tanah terbiar atau lot kosong, tempat pembuangan sampah dan rumah tidak berpenghuni turut menyumbang kepada pembiakan nyamuk aedes.

Menurut Jamilah, berikutan itu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) mengingatkan masyarakat bahawa usaha menangani penyakit demam denggi ini merupakan tanggungjawab bersama dan memerlukan penglibatan pelbagai agensi.

“Malah, individu atau pemilik premis perlu memastikan kawasan persekitaran di dalam dan luar rumah mereka sentiasa bersih dan bebas dari pembiakan nyamuk aedes.

“Bagi mencegah penyakit demam denggi, masyarakat dinasihatkan untuk mengambil beberapa langkah seperti memberi kerjasama sepenuhnya terutama membuka pintu dan tingkap semasa aktiviti penyemburan kabus sedang dilaksanakan oleh anggota dari Kementerian Kesihatan,” jelasnya.

Katanya, penduduk juga boleh memusnahkan tempat-tempat yang boleh menakung air dan berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes setiap minggu.

“Sekiranya mengalami demam, orang ramai dinasihatkan segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di klinik kesihatan berhampiran.

“Sebarang kelewatan bertindak boleh membawa maut,” ujarnya.

Terdahulu, Suara Sarawak melaporkan wabak denggi di Kampung Ajibah Abol dikategorikan sebagai tidak terkawal dengan 37 kes.