CAMERON HIGHLANDS: Kerajaan PH perlu memandang serius permasalahan dihadapi masyarakat Orang Asli di Kuala Koh

Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor berharap Kementerian yang bertanggungjawab dapat mempercepatkan siasatan.

Katanya, sekarang ini bukanlah masa untuk menuding jari kepada mana-mana pihak dan permasalahan ini juga tidak wajar dipolitikkan kerana ia melibatkan nyawa manusia.

“Bagi saya nyawa manusia bukan untuk mainan politik justeru saya sarankan agar satu Jawatankuasa Khas Siasatan dianggotai oleh para profesional dalam bidang berkaitan ditubuhkan segera bagi mengenal pasti apa punca musibah ini terjadi,” katanya dalam satu kenyataan media.

“Kita tidak mahu isu ini berpanjangan dan terus mengorbankan nyawa atau kesihatan Orang Asli selepas ini. Kita tidak tahu nasib sebahagian daripada mereka yang masih bertarung nyawa di hospital,”  katanya.

Foto Bernama

Beliau berkata,  jika benar punca kematian disebabkan pencemaran air oleh bahan kimia yang digunakan bagi aktiviti perlombongan bijih besi itu, beliau harap kerajaan dapat mengambil tindakan undang-undang yang sepatutnya ke atas pengusaha lombong dan mengarahkan aktiviti tersebut dihentikan serta merta.

“Apa yang penting, janganlah penyelesaian isu Orang Asli ini hanya diberi perhatian bermusim saja ibarat hadir bila timbul isu berduyun-duyun, bila reda lupa dan senyap sunyi,” ujarnya.

“Selain itu, saya juga telah merangka beberapa soalan dan cadangan yang akan saya bawa ke sidang Parlimen sesi Julai ini untuk diajukan kepada kementerian-kementerian yang bertanggungjawab seperti Kementerian Kesihatan, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Asli,” tambahnya.

Kata Ramli, beliau berharap kementerian yang terbabit dapat memberi penjelasan yang baik kerana ia bakal dinilai oleh rakyat.

“Sebagai satu-satunya Ahli Parlimen dari masyarakat kaum Asli maka semestinya saya mengambil berat tentang apa yang terjadi di Kuala Koh ini dan ia ibarat cubit peha kiri peha kanan terasa jua,” ujarnya lagi.