KUCHING: Warga Sarawak dan penduduk dari luar negeri ini dipelawa menyertai aktiviti kecergasan ‘The Great Rimba Zumbathon’ (TGRZ) yang akan diadakan pada 10 Ogos ini di perkarangan Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh di sini.

Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak Datuk Snowdan Lawan berkata aktiviti kecergasan ini diadakan bersempena Hari Orang Asal Sedunia yang disambut pada 9 Ogos setiap tahun.

Beliau berkata sebahagian daripada jualan tiket akan disumbangkan kepada badan amal terpilih untuk membantu penduduk orang asal yang tinggal di kawasan luar bandar di Sarawak.

“Tumpuan utama kami adalah untuk menghulur bantuan kepada komuniti Penan terutamanya mereka yang masih mengikuti dan mahu meneruskan pengajian,” katanya pada sidang media untuk mengumumkan program itu di sini hari ini.

Zumba bertemakan hutan hujan itu dijangka menarik lebih 300 peserta, yang berpeluang menjalani saringan kesihatan percuma, kaunseling berkaitan kanser payudara dan pangkal rahim, bimbingan pemakanan dan dietari selain bazar makanan.

Orang ramai yang berminat menyertai aktiviti ini boleh menghubungi penganjur menerusi Ketua Pegawai Eksekutif Place Borne, Mona Manap di mona@placeborneo atau melayari laman sesawang rimbazumbathon.com.  — BERNAMA