KUCHING: Pengarang veteran Datuk A Kadir Jasin berkata hanya orang yang ada pekung yang hendak ditutup sahaja takut kepada kritikan dan pendedahan.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap kritikan terhadap Ketua  Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Latheefa Beebi Koya yang menyatakan bahawa  beliau tidak ada masalah pelantikannya dikritik dan dipersoalkan.

“Saya pun berasa begitu. Sesiapa saja yang yakin dengan dirinya harus tidak takut dikritik dan dipersoalkan,” kata Kadir.

Jelasnya, tidak ada sebarang isu atau kontroversi besar berkaitan pelantikan beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya SPRM.

“Hakikat beliau adalah orang luar juga tidak menjadi persoalan kerana seperti kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasinya, Azam Baki, sejak ditubuhkan pada tahun 1967, 10 daripada 13 ketua pesuruhjaya adalah lantik luar,” katanya dalam blog The Scribe.

“Kalaupun ada perkara yang boleh dianggap sebagai luar biasa adalah interpretasi politik oleh sesetengah pihak yang berasa mereka perlu dibawa berunding sebelum keputusan dibuat,” ujarnya lagi.

Tetapi seperti yang dihujahkan oleh pihak lain, jelas Kadir, keputusan mencalonkan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya adalah budi bicara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang telah pun mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Dalam mencadangkan Latheefa sebagai pengganti Datuk Seri Mohd Shukri Abdul, Perdana Menteri tentulah mempunyai alasan yang kuat dan tersendiri,” tegas beliau. 

“Yang jelas bagi saya adalah beliau mahukan kelainan supaya satu perspektif baharu akan muncul dalam organisasi penting itu,” katanya.

Kadir mengakui ini tidak menghalang mana-mana pihak, termasuk parti politik kerajaan dan pembangang, membahaskan perkara ini secara waras dan bersantun.

“Yang lebih penting bagi saya ialah bagi Latheefa membuka lebih banyak kertas siasatan baharu melibatkan individu berprofil tinggi dalam kerajaan lama,” katanya.

“Pastinya individu yang terlibat dengan rasuah era kleptokrasi tidak terhad kepada beberapa kerat yang sedang dibicarakan sekarang.

Apa halnya dengan mereka yang bersubahat menyekat pelaksanaan hukum undang-undang atau menggunakan kuasa undang-undang ke atas pengkritik kerajaan lama?,” katanya.

“Mereka ini wajib disiasat dan diseret ke muka pengadilan jika terdapat bukti kukuh,” kata beliau dalam komen peribadinya itu.