KUCHING: Lawas dijangka mendapat kesan limpahan sosioekonomi yang besar, terutama dari segi peluang pekerjaan apabila projek petrokimia bertaraf dunia dibina di situ.

Difahamkan projek terbabit bakal mewujudkan 1,000 peluang pekerjaan dalam fasa pertama dan apabila siap sepenuhnya, dijangka memerlukan sekitar 20,000 pekerja.

Beijing BECA Sci-tech Co Ltd dan Sinopec Engineering Incorporation bersetuju melabur sebanyak US$5 bilion untuk Kompleks Minyak dan Gas Bersepadu di Lawas.

Menurut Ketua Menteri, fasa pertama projek berkenaan di atas kawasan 400 hektar di Pulau Sari, Lawas dijangka dimulakan pada suku keempat tahun ini.

“Syarikat terbabit menjalankan kajian awal di lokasi lain dan telah mengenal pasti kawasan utara Sarawak khususnya Lawas sebagai lokasi terbaik untuk membina projek itu,” jelas Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di satu majlis pementeraian Perjanjian Persefahaman (MoU) antara syarikat itu dengan Kerajaan Sarawak di sini, semalam.

Foto ST

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak mengalu-alukan penyertaan aktif sektor swasta dan pelabur asing dalam pembangunan sektor minyak dan gas di negeri ini.

Katanya, penyertaan pelabur asing akan dapat meningkatkan keupayaan Sarawak dalam sektor terbabit.

Presiden BECA, Hao Liang dalam ucapannya berkata, projek itu dijangka dapat menjana pendapatan US$1.5 bilion dari segi jualan tahunan.

Tegas beliau, projek itu bukan sahaja bakal mewujudkan nilai ekonomi tetapi juga faedah sosial, rantaian perindustrian dan peningkatan industri khususnya di kawasan terbabit.