SEBUYAU: Konsep majlis rumah terbuka sempena sambutan perayaan pelbagai kaum di negeri ini mampu mengukuhkan kerjasama dan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Ahli Parlimen P201 Batang Lupar, Dato Sri Rohani Abdul Karim berkata, perpaduan kaum amat penting untuk memastikan kestabilan ekonomi, dan politik di negeri ini.

“Sehubungan itu budaya rumah terbuka perlu diteruskan kerana semangat perpaduan kaum dalam kalangan rakyat dapat dipupuk,” katanya semasa berucap dalam Majlis Ramah Tamah Gawai Raya 2019 di Dewan Pembangunan Sebuyau, hari ini.

Dato Sri Rohani menambah, sempena sambutan Hari Gawai dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, ia merupakan titik pertemuan bagi masyarakat majmuk di Batang Lupar khususnya.

Jelasnya, konsep rumah terbuka Gawai Raya sempena musim perayaan kali ini juga boleh merapatkan hubungan para pemimpin dengan masyarakat akar umbi.

Dianggarkan lebih 300 tetamu telah bersama-sama memeriahkan sambutan Majlis Ramah Tamah Gawai Raya tersebut. – Edisi UKAS