SEBUAH lagi parti bakal bertanding di Sarawak. Parti Bumi Kenyalang (PBK) akan bertanding di  82 kerusi Dewan Undangan Negeri pada PRN-12 nanti.

Hakikatnya, PBK bukanlah parti baharu.  PBK diluluskan penubuhannya oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada 28 Ogos 2013.

Mampukah PBK memenangi sebarang kerusi nanti atau ia bakal mengalami nasib yang sama seperti parti baharu yang lain, sebelum ini?

Sesungguhnya, kewujudan parti baharu sentiasa dipantau perkembangannya oleh pemerhati politik.

Berdasarkan barisan kepemimpinannya, ia terdiri daripada pelbagai kaum. Adakah itu jaminan ia akan diterima oleh para pengundi?

Namun, kewujudannya pasti menambahkan kemeriahan pesta demokrasi di Sarawak semasa PRN- 12 nanti.

Sejauh manakah rakyat dan pengundi Sarawak menerima parti pimpinan Voon Lee Shan itu?

Voon merupakan bekas Adun Batu Lintang.

Belum apa-apa lagi, DAP mendakwa, Voon masih lagi ahli parti itu. DAP semalam malah menuntut supaya Presiden PBK itu menjelaskan kedudukan sebenar.

Voon diminta menjelaskan kedudukannya di dalam DAP, kerana menurut pemimpin DAP Sarawak, beliau masih lagi anggota parti itu.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata, bekas Anggota Parlimen Batu Lintang itu, sehingga kini tidak meletakkan jawatannya.

“Saya mahu mengucapkan tahniah kepada beliau atas jawatan baharu beliau itu, namun, kami akan mengeluarkan satu surat kepadanya untuk beliau menjelaskan kedudukannya, kerana perlembagaan parti tidak membenarkan dua keahlian,” katanya dalam satu sidang media  semalam.

Berdasarkan kepada rekod keahlian terkini, beliau berkata, Voon yang menang sebagai Presiden PBK di Sibu pada Sabtu, masih lagi anggota DAP.

Namun, Voon dalam penjelasannya berkata, tiada apa-apa yang hendak dijelaskan. Sebab, beliau sebenarnya telah pun dipecat oleh DAP menjelang pilihan raya negeri 2011. Tepatnya, pada 5 April 2011 dan ia berlaku di ibu pejabat DAP di Kuching.

Kejadian itu berlaku apabila kerusi beliau di Batu Lintang ditukar ganti dengan PKR.

Implikasinya, Chieng Jen tidak perlu membuang masa beliau untuk mengeluarkan surat kepada Voon. Atau adakah beliau sudah lupa akan peristiwa itu? Atau rekod DAP sebenarnya tidak kemas kini?

Kehadiran dan penerimaan parti baharu banyak bergantung kepada kepemimpinan parti. Mampukah Voon sebagai bekas pemimpin DAP menarik perhatian pengundi? Apakah ideologi perjuangannya?

Adakah perjuangannya sekadar untuk menuntut balik hak Sarawak yang terhakis atau mengemukakan referendum?

Apakah isu yang bakal diketengahkannya untuk menarik perhatian pengundi?

Menurut laporan media PBK berhasrat membawa negeri Sarawak keluar daripada Malaysia sekiranya memenangi PRN yang dijangka berlangsung pada tahun 2021.

Persoalannya, adakah ini perjuangan yang betul? Tidakkah ini bertentangan dengan semangat perlembagaan persekutuan dan juga Akta Hasutan 1948?

Adakah perlu bercerai hanya kerana sedikit masalah? Kalau ideologi dan perjuangan ini menjadi keutamaannya, PBK perlu membuat penilaian kembali yang serius tetang tujuan dan falsafah kehadirannya dalam arena politik Sarawak.

Saya percaya, naratif politik sedemikian tidak serasi dengan pendirian kebanyakan dariapda 2.8 juta penduduk Sarawak.

Presiden PBK dipetik berkata, Sarawak berhak berbuat demikian dan partinya berpandangan langkah Sarawak menyertai pembentukan Malaysia pada tahun 1963 satu kesilapan.

Adakah kenyataan ini juga masuk akal? Apakah kayu ukur beliau? Adakah satu penghakiman nilai dan moral sedemikian betul dari segi sejarah?

Dalam penghakiman nilai dan moral, semua faktor perlu diambil kira, termasuk ancaman dan cabaran yang dihadapi oleh Sarawak ketika itu. Tidak tepat untuk membuat penilaian berdasarkan kaca mata sekarang. Memang mudah ubntuk mengatakan tidak betul atau salah tanpa berada dalam konteks zaman.

“Untuk melaksanakan strategi keluar daripada persekutuan Malaysia, kami dalam PBK memohon pengundi Sarawak untuk menyokong parti bagi menguasai kerajaan negeri dalam pilihan raya akan datang,” katanya seperti dipetik media.

“Disebabkan agihan kerusi Parlimen yang tidak sama banyak kepada Sabah dan Sarawak), kita tidak boleh menguasai Kabinet. Oleh kerana itu, Pusat akan terus menguasai Sabah dan Sarawak.

Untuk itu, jelas Voon, dengan menguasai kerajaan negeri, PBK boleh mengambil langkah-langkah yang perlu termasuk dari segi perundangan bagi menjayakan impian ‘memerdekakan’ Sarawak.

Tidak mudah sebenarnya bagi PBK mendapat sokongan lebih-lebih lagi jika jentera akan umbinya lemah. Adakah memainkan sentimen nasionalisme kenegerian sesuai?

Apakah faedahnya? Adakah Sarawak di dalam Malaysia terlalu teruk? Voon sebagai pemimpin parti perlu mengemukakan naratif politik yang betul dan baik untuk masa depan rakyat, dan bukannya memainkan sentimen murahan.

Satu daripada masalah besar parti baharu ialah kemantapan kewangan. Kecualilah ia mendapat dukungan daripada mereka yang kaya.

Namun,  setidak-tidaknya rakyat mempunyai lebih banyak pilihan dalam menentukan calon dan parti  yang terbaik untuk mewakili mereka.

Dari satu segi, kehadiran terlalu banyak parti pembangkang juga akan memecahkan undi. Siapakah yang untung dalam keadaan demikian?

PBK perlu berada di atas landasan dan perjuangan politik yang betul bagi memastikan ia diterima baik oleh rakyat.

Jika tidak, ia akan mengalami nasib yang sama seperti parti politik lain di negeri ini.