Friday, October 7, 2022

Pola peningkatan penduduk Melanau di Sarawak

Secara Rawak

Tidak terdapat bancian rasmi tentang penduduk Sarawak pada abad ke-19. Bancian rasmi pertama hanya dijalankan pada tahun 1939.

Berdasarkan laporan dalam Sarawak Gazette, bancian tersebut dapat dikatakan tidak sempurna.  Daripada bancian tersebut, jumlah penduduk Sarawak pada waktu itu ialah 128,679, dengan 2519 Melayu, 70,849 Dayak, 4947 Cina, dan 364 India.

Jumlah Melanau pada abad ke-18 dan ke-19 tidak banyak diketahui, tetapi daripada catatan Crocker, salah seorang pegawai Brooke pada sekitar 1876, terdapat dalam lingkungan 30,000 orang Melanau yang mendiami kawasan Rejang, Belawai, Paloh, Igan, Oya, Judan, dan Mukah (Sarawak Gazette, Jun 1876).  Jumlah yang dilaporkan itu tidak begitu tepat. Anggaran yang lebih munasabah adalah dalam lingkungan 20,000 orang.

Berdasarkan angka dan keadaan tersebut, dapat dikatakan bahawa jumlah orang Melanau pada awal abad ke-18 adalah kurang daripada 15,000 orang.  Sekitar tahun 1750, jumlahnya tentu kurang daripada 10,000 orang.

Dalam tempoh berkenaan kawasan Melanau termasuk di Mukah, Oya, dan Dalat telah diancam oleh pelbagai wabak, termasuk malaria, cacar, dan kolera. Misalnya pada tahun 1877, sebanyak 455 orang meninggal dunia kerana diancam kolera di Mukah, manakala di Medong, terdapat 75 kematian (Sarawak Gazette, November 1877).

Jumlah tersebut boleh dianggap tinggi pada waktu itu dengan mengambil kira jumlah kelahiran dan jumlah keseluruhan penduduk di kawasan berkenaan. Pada tahun 1880 ratusan orang meninggal dunia kerana kolera di Sungai Oya, kebanyakannya di hulu sungai.

Setahun berikutnya, kampung-kampung di Medong dan Oya pula diserang cacar sehingga menjejaskan aktiviti harian mereka, terutama menebang rumbia dan memproses sagu (Sarawak Gazette, Disember 1889).  

Kebanyakan yang selamat ialah mereka yang meninggalkan rumah panjang ketika penyakit itu merebak. Wabak penyakit merupakan salah satu faktor utama yang menyebabkan kemerosotan ketara dalam jumlah penduduk Melanau dalam tempoh tersebut.

Serangan wabak berkenaan dianggap sebagai tragedi.  Sebenarnya, serangan wabak penyakit berkenaan bukan sahaja melanda kawasan Melanau, tetapi turut dialami oleh kaum lain seperti Lun Bawang dalam tempoh tersebut.

Ancaman penyakit pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 di kawasan Melanau banyak menjejaskan jumlah penduduk apabila banyak yang jatuh sakit dan meninggal dunia. Wabak yang sukar dikawal kerana ketiadaan ubat moden, hospital, dan klinik itu mencetuskan ketakutan dan suasana panik dalam masyarakat.

Mengikut cerita lisan yang disampaikan dari generasi ke generasi, berlaku kejadian mubus atau pupus apabila semua penduduk di sesuatu kawasan menghidap penyakit dan meninggal dunia.  

Mengikut sejarah lisan, penduduk tidak henti-henti menguburkan mayat  dan mereka berasa takut untuk melakukannya kerana bimbang terkena penyakit. Orang tua-tua di kampung menyatakan wabak penyakit pernah menyerang kawasan Melanau beberapa kali dalam tempoh empat ratus tahun lalu. Oleh sebab itulah mereka terpaksa mengadakan upacara kaul untuk meredakan kemurkaan ipok sehingga akhirnya dipercayai dapat menghentikan wabak tersebut.

 

Pada waktu itu kawasan Mukah, Oya, dan Dalat telah diserang wabak penyakit sehingga banyak yang meninggal dunia. Keadaan ini menjejaskan jumlah penduduk Sarawak. Keadaan hanya pulih apabila pihak kerajaan Brooke telah membina dispensari di Mukah, Oya, dan Dalat mulai tahun 1910.

           Ancaman penyakit dapat dibendung dan jumlah kematian berkurangan kerana penduduk lebih yakin akan keberkesanan ubat yang diberi oleh pihak dispensari berbanding dengan pengubatan tradisional.

Menjelang tahun 1929 dilaporkan bahawa jumlah orang Melanau Islam dan pagan hampir sama (Sarawak Gazette, 1929).  Pada tahun 1934, hanya sebahagian daripada penduduk di kawasan tersebut beragama Islam. Sementara itu penduduk di Kampung Terus dan Kampung Balan, Dalat hampir keseluruhannya ialah pagan.

Menjelang tahun 1960, tiga suku daripada orang Melanau di kawasan pesisiran telah menganut agama Islam. Walaupun begitu, bagi Morris (1991), mereka tidak menganggap diri sebagai Melayu walaupun dianggap demikian. Bahasa pertuturan mereka ialah Melanau.

Anggaran Crocker (1974) yang mengatakan terdapat 30,000 kaum Melanau pada tahun 1871 adalah agak berlebihan kerana banci pada tahun 1939 menunjukkan bahawa populasi Melanau hanya 36,772 orang.

Tidak mungkin dalam tempoh setengah abad hanya terdapat peningkatan sebanyak 7000 orang sahaja meskipun sesudah mengambil kira ancaman pelbagai jenis wabak penyakit pada waktu itu. Mungkinkah juga mereka telah berhijrah ke tempat lain di Sarawak, terutama ke kawasan Melayu di Kuching, Sebuyau, Santubong, atau Kalaka sesudah pendudukan Jepun untuk mengubah nasib dan haluan, hingga akhirnya diserapkan oleh kaum Melayu?

Ketika bancian tahun 1947, Noakes seperti yang dikutip oleh Lee Yong Leng (1981) mengatakan bahawa tidak ada sebab untuk menyatakan bahawa orang Melanau telah berhijrah beramai-ramai ataupun bahawa mereka telah diserap oleh kaum-kaum lain.

Namun, terdapat bukti bahawa kebanyakan mereka telah mati akibat wabak penyakit pada tahun 1943. Beliau membuat kesimpulan bahawa kadar pertumbuhannya semakin rendah dan dikhuatiri populasi ini akan semakin kurang terus-menerus. Beliau juga menyarankan penyiasatan yang lebih rapi dilakukan untuk mencari jalan bagi mengatasi perkara ini dengan kadar segera (Lee Yong Leng, 1981: 75).

Masyarakat Melanau merupakan kaum minoriti di Sarawak.  Berdasarkan statistik pada tahun 1939, hanya terdapat 36,772 orang atau 7.5 peratus daripada keseluruhan 490,585 penduduk Sarawak terdiri daripada orang Melanau.  

Dari segi peratusan, jumlahnya sama dengan kaum Dayak Laut. Peratusan tersebut merosot menjadi 6.5 peratus pada tahun 1947 dengan penduduk Melanau hanya sekitar 35,560 orang sahaja daripada 546,385 orang penduduk Sarawak. Sejumlah 26,000 daripadanya penganut Islam Islam  – satu kemerosotan yang disebabkan oleh kekeliruan antara Melanau Islam dengan Melayu (Jackson, 1976: 34).

Hal ini turut dibuktikan dalam hasil bancian di daerah Hulu Rejang pada tahun 1940 dan 1947, yang masing-masing mencatatkan 16,503 orang dan 12,389 orang – satu kemerosotan yang agak ketara.

Di Mukah terdapat 8519 orang pada tahun 1940 berbanding 8719 orang pada tahun 1947. Di Oya pula terdapat 6578 orang pada tahun 1940  berbanding 6857 orang pada tahun 1947. Pembanci mengkategorikan Melanau Islam sebagai Melayu.

 

Hal ini demikian kerana terdapat kekeliruan dalam pengkategorian, terutamanya apabila  banyak orang Melanau Islam dianggap sebagai Melayu. Contoh yang jelas ketika seorang penulis Eropah, E.R Leach pada tahun 1950 menyatakan,  bahawa, “dengan Melayu saya bermaksud mana-mana kaum peribumi di Sarawak yang menganut agama Islam.” Kekeliruan seperti inilah yang menyebabkan jumlah populasi Melanau terjejas, walhal Melayu ialah Melayu dan Melanau ialah Melanau.

Dalam kalangan orang Melanau sendiri, golongan yang telah menganut agama Islam dikenali sebagai a-selem, manakala yang baru menganut Islam dikenali sebagai masuk selem. Mereka sama sekali tidak menganggap orang yang memeluk agama Islam sudah menjadi Melayu.

Peratusan tambahan populasi masyarakat dari tahun 1947 – 1960 adalah lebih rendah daripada purata negeri.  Tidak terdapat peningkatan berbanding dengan jumlah keseluruhan penduduk, serta berbanding dengan peningkatan penduduk bumiputera lain sejak tahun 1939. Peratusan tambahan penduduk Melanau antara 1947 – 1960 ialah 25.6 peratus.

Peratusan penduduk Melanau pada 1960 ialah 6.0 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Sarawak, sebanyak 744,529 orang.  Bagi Lee Yong Leng (1981), mungkin ada beberapa faktor yang menyebabkan kadar pertambahan jumlah penduduk Melanau rendah. Nisbah kesuburan mereka hanya 637.7 dan keadaan ini adalah yang paling rendah dalam kalangan penduduk di Sarawak.

Di samping itu, kadar kematian kanak-kanak Melanau dikatakan agak tinggi seperti yang berlaku dalam masyarakat bumiputera lain – ibu Melanau yang berumur antara 25 – 29 tahun telah kehilangan 18.5 peratus daripada anak yang dilahirkan, berbanding orang Cina hanya 3.4 peratus.

Mengikut beliau lagi, kira-kira 70 peratus daripada tambahan penduduk dari tahun 1947 – 1960 berlaku di empat daerah Melanau, iaitu Bintangor, Sarikei, Mukah, dan Bintulu, tetapi yang lebih penting, 30 peratus daripada pertambahan itu berlaku di luar kawasan Melanau dengan 92 peratus berlaku di tiga daerah, iaitu Kapit, Sibu, dan Miri.

Menurut anggaran banci penduduk pada tahun 1980, terdapat kira-kira 69,813 orang Melanau di Sarawak. Kawasan yang menjadi tumpuan orang Melanau menurut banci tersebut adalah seperti berikut:  Kuching, 1514 orang; Sibu, 9314 orang; Mukah, 11,585 orang; Oya/Dalat, 10,739 orang; Bintulu, 7639 orang; Miri, 4626 orang; Sarikei, 6911 orang; Meradong, 1374 orang; dan Matu/Daro, 14,542 orang.

Dalam jangka masa 10 tahun (1970 – 1980) bilangan orang Melanau telah meningkat sebanyak 21,872 orang. Hal ini sebahagiannya kerana kesedaran yang kuat tentang kepentingan mempertahankan identiti dan juga perasaan bangga kerana kepemimpinan kaum Melanau amat ketara dalam hampir semua bidang menjelang dekad 70-an hingga dekad 80-an.  

Dari segi peratusan, pada tahun 1960 penduduk Melanau merupakan enam peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Sarawak. Sementara pada tahun 1970 pula, jumlah ini menjadi sebanyak 5.5 peratus; seterusnya pada tahun 1980 terdapat kenaikan kepada 5.7 peratus; dan pada tahun 1991 peratusan tersebut kekal 5.7 peratus. Pada tahun 2000 pula peratusan ini menurun kepada 5.5 peratus. Jadual berikut memperlihatkan perkembangan penduduk Melanau dari tahun 1876 – 2000.

Jadual 2.1 Penduduk Melanau dari  1876-2000

Tahun Jumlah Peningkatan/Penurunan
1876             30,000 (anggaran)
1939              36,772               + 6772
1947              35,560 – 1212
1960              44,661 + 8573
1970              53,234 + 17,974
1980              75,126 + 21,872
1991              96,000 + 20,000
2000              109,882 + 13,882

Sumber: Crocker (1876); Jackson (1976); Lee Yong Leng (1981); Jabatan Perangkaan Sarawak

Ternyata bahawa perkembangan jumlah penduduk Melanau sekurang-kurangnya dalam tempoh sekitar seabad lalu tidak pesat. Mengapakah sesudah peningkatan dan pertumbuhan yang agak konsisten dan stabil dalam tempoh tiga dekad, dari 1970 – 1991 dengan purata peningkatan sekitar 20,000, tiba-tiba berlaku penurunan yang ketara dalam  sedekad seterusnya iaitu dari 1991 – 2000 apabila hanya terdapat sekitar 14,000 peningkatan?

Statistik pada tahun 2000 menunjukkan terdapat 109,888 orang Melanau – 54 972 lelaki dan 54,910 perempuan daripada hampir 2.1 juta penduduk Sarawak (Jabatan Perangkaan Sarawak 2000).

Sekarang penduduk Melanau dianggarkan sekitar 150,000 orang. Peningkatan dan pertumbuhan yang konsisten dan stabil pada tempoh tiga dasawarsa itu sebahagiannya berpunca daripada kadar mortiliti yang rendah akibat daripada peningkatan dalam taraf kesihatan penduduk yang semakin mudah mendapat kemudahan kesihatan.

Selain itu faktor lain ialah kadar kesuburan yang agak tinggi dan kesedaran mereka tentang kepentingan mengekalkan identiti ekoran  perubahan dalam landskap sosiopolitik apabila kepemimpinan negeri banyak diterajui oleh pemimpin Melanau.

Sementara itu kemerosotan yang agak ketara menjelang alaf baharu berpunca berpunca daripada perkahwinan campur yang semakin pesat dan lebih banyak orang Melanau memeluk agama Islam. Selain itu, yang beragama Islam tidak kisah sangat dengan identiti walaupun dikategorikan mereka sebagai Melayu.

Profesor Madya Dr Jeniri Amir yang berasal dari Mukah, kini ialah pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak. Beliau banyak melakukan kajian dan menulis tentang Melanau.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru