Monday, August 15, 2022

Pelantikan Latheefa menggugat PH luar dan dalam?

Secara Rawak

KALAU secara secara literalnya berdasarkan Seksyen 5 (1) Akta SPRM 2009 terdapat kenyataan  yang menyatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah, atas nasihat perdana menteri melantik ketua pesuruhjaya. Kelayakan akademik Latheefa Koya tidak dipertikaikan.

Namun ini melangkaui kelayakan individu dan Latheefa pula tidak melobi jawatan tersebut. Yang menjadi pertikaian kini lebih kepada cara Latheefa dilantik yang menimbulkan keraguan akan hala tuju Pakatan Harapan  dalam soal janji PRU.

Yang lebih menimbulkan kekecewaan  rakyat dan orang PH sendiri apabila tindakan PM  ternyata  bertentangan dengan dengan janji-janji PH dalam PRU-14.

Ia kelihatan seolah-olah janji PH bahawa SPRM akan melapor terus kepada Parlimen, dan bukan lagi kepada Perdana Menteri untuk  semak imbang efektif,  Pesuruhjaya perlu disahkan secara demokratik oleh Parlimen tidak akan  berlaku seperti dijanjikan.

Malah beberapa wakil rakyat PKR dan pimpinan PKR sendiri  yang mewakili suara rakyat dan sebahagian pemimpin akar umbi PH  menyuarakan bantahan ini.

Apatah lagi kini Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam  hanya sebagai janji manis PH yang tidak dikotakan.

Janji ini dilihat sekadar bersifat komestik dan lip service PH ketika terdesak dalam merayu undi daripada rakyat Malaysia. Kepimpinan akar umbi  dan rakyat menuntut janji Buku Harapan. 

Akibatnya, semakin ramai rakyat hilang kepercayaan apabila satu demi satu janji pilihan raya tidak ditunaikan meskipun mereka berkuasa dan boleh menunaikan sebagaimana isu pelantikan SPRM.

Kerajaan PH perlu sedar bahawa kerajaan dan keyakinan rakyat terhadap PH  belum begitu kukuh lagi.

Tindakan terbaharu ini menyebabkan kemarahan rakyat dan pengundi mereka sendiri. Tindakan ini membuat rakyat kini kurang selesa bakal akan dihukum rakyat pada PRU akan datang.

Lebih mengecewakan lagi apabila tular siaran media Perdana Menteri sempena mesyuarat Jawatangkuasa Khas Kabinet  mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) pada 13 Ogos 2018.

Dalam siaran media tersebut Perdana Menteri menyatakan  strategi holistik untuk Malaysia agar lebih dikenali kerana integritinya. Antara kertas dibincangkan ialah usaha memperkasakan  Suruhanhaya Pencegahan Rasuah.

Menurut siaran media Perdana Menteri itu, pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang lebih telus hendaklah atas pertimbangan Parliementary Select Committee (PSC) dan prestasi/kompentensi penyandang Ketua Pesuruhjaya turut dinilai oleh pihak pemegang taruh luar.

Selain itu, PSC akan mengambil peranan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), badan bebas memantau SPRM peringkat parlimen pada masa sekarang, selain mewujudkan dasar  belanjawan yang khusus dan berasingan bagi pihak SPRM.

Namun, nampaknya kenyataan melalui siaran media Perdana Menteri sendiri melanggar tekad dan pendirian Pakatan Harapan sendiri.  Ada dalam kalangan pimpinan PH mempertahankan tindak- tanduk terbaharu Perdana Menteri, namun sebahagian membantah sikap dan tindak-tanduk ini.

Akhirnya, ia dilihat  bahawa tindakan ini untuk mengurangkan atau mengimbangkan pengaruh Anwar Ibrahim agar tidak terlalu kuat pada masa kini kerana ramai yang sedar pontensi aura dan karisma Anwar dalam kepemimpinan politik Anwar.

Semacam rahsia umum bahawa terdapat kini lebih terserlah apabila terdapat dua kem dalam PKR, iaitu menyokong dan  membantah pelantikan ini. Misalnya, Syed Badli dan Nik Nazmi mempunyai pendirian yang berbeza dengan Aifif Bahardin.

Dr Tan Yee Kew ahli parlimen Wangsa Maju membantah pelantikan ini  dan menyertai ribuan orang menandatangani petisyen dalam talian yang mendesak supaya Ketua SPRM baharu ini  berundur daripada jawatan ketua pesuruhjaya SPRM.

Beliau menjelaskan tidak ada kaitan dengan dengan keupayaan Latheefa, akan tetapi lantikan itu sendiri bertentangan dengan pembaharuan institusi yang ditolak golongan pembaharuan institusi dan janji terkandung dalam Buku Harapan.

Dari segi politik dalaman parti PKR sendiri, Latheefa dikenali sebagai pengkritik Anwar, Wan Azizah dan Nurul Izzah dalam pelbagai isu termasuk pemilihan PKR pada tahun lepas,cadangan pelantikan Anwar sebagai  ketua PKR Negeri Sembilan, Langkah PD, isu Julau dalam pemilihan PKR dan sebagainya.

Situasi ini juga dilihat memberikan kesan terhadap perpaduan dalaman PKR, meskipun tidak salah menyuarakan komen dan kritikan membina dalam sebuah kerajaan yang mahukan menyuburkan proses demokrasi di negara ini.

Yang pasti Dr Mahathir dijangka akan terus bertegas dengan keputusannya apabila dilihat sejarah sikap dan pendirian Mahathir dalam  politik lebih 50 tahun.

Memang dari satu segi pelantikan Latheefa ini sebagai cara Mahathir untuk membanteras gejala rasuah dengan apa-apa cara sekalipun, namun di satu sisi lagi seolah-olah beliau kurang percaya terhadap calon-calon pegawai atau dalaman SPRM sendiri yang sudah terlatih dan berpengalaman puluhan tahun termasuk yang pernah berkhidmat ketika era  beliau dalam era BN terdahulu.

Hakikatnya, mempunyai PSC yang kuat adalah penting agar dihormati oleh rakyat Malaysia, akan tetapi SPRM perlu dilihat mandiri,  dan tidak terpengaruh oleh unsur lantikan yang dipersoalkan agar tidak mengikis kewibawaan dan intgriti SPRM sendiri.

Jadi soal yang manakah  yang perlu dilihat lebih kuat atau  lebih penting SPRM atau PSC, ternyata kedua-duanya perlu dilihat lebih kuat dan penting sebagaimana janji Buku Pakatan Harapan serta perlu dipenuhi agar tidak ditolak rakyat pada PRU akan datang.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru