Monday, August 15, 2022

Jakarta diserbu 70,000 pendatang baharu

Secara Rawak

JAKARTA: Setiap kali selepas berakhirnya Ramadan, satu daripada fenomena yang dihadapi ibu kota ini ialah kemasukan warga baharu dari kampung.

Mereka dibawa oleh sanak saudara atau rakan-rakan untuk mencuba nasib di ibu kota 12 juta jiwa itu.

Ada daripada mereka bagai rusa masuk kampung. Maklumlah pertama kali ke ibu kota ternama yang bernafas 24 jam ini.

Yang tiada kemahiran dan pelajaran tinggi sering tersadai di rumah setinggan, malah ada yang terbabit dalam kegiatan jenayah.

Foto OZ

Jakarta menguji kekuatan dan ketahanan untuk kelangsungan.

Pemerintah Provinsi Jakarta menganggarkan 71,000 pendatang baharu akan menyerbu setelah  Aidilfitri ini berlalu.

Angka ini 2,000 lebih tinggi daripada tahun lepas.

Sebelum Aidilfitri, arus mudik atau balik kampung menyesakkan jalan raya dan lebuh raya di negara 17,000 pulau itu.

Jakarta lengang dan sepi walaupun pada hari biasa  keadaan hiruk-pikuk dan ia dicengkam kemacetan atau kesesakan trafik yang tenat.

Gabenor Jakarta, Anies Baswedan, menyambut kehadiran mereka ini, namun pengamat tatakota menilai harus ada pengendalian kerana Jakarta sudah mengalami “limpahan”, kata BBC Indonesia.

Anies  dipetik berkata, bahawa dia tidak akan melakukan operasi  penangkapan atau pemeriksaan dokumen bagi warga yang datang ke Jakarta selepas Aidilfitri.

“Setiap warga negara Indonesia berhak untuk bekerja di mana-mana saja kerana memang Indonesia memiliki kesetaraan itu, termasuk juga Jakarta,” ujar Anies seperti dipetik BBC lagi.

Beliau menjelaskan yang akan dilakukan ialah program layanan kependudukan atau pendataan pendatang baharu.

Sebelumnya, operasi  penyekatan kerap dilakukan Gabenor Jakarta, hingga terakhir pada masa mantan Gabenor Fauzi Bowo untuk menekan laju urbanisasi.

Namun, pada era mantan Gabenor Joko Widodo yang kini Presiden Indonesia, dan Basuki Tjahaja Purnama, dasar itu tidak lagi dilaksanakan.

Jakarta yang sedia sesak, mampukah memberi pekerjaan dan kediaman kepada pendatang baharu itu?

Inilah persoalannya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru