Ditipu Macau Scam

SEORANG penjawat awam di Miri kerugian lebih RM1 juta setelah diperdaya oleh seorang wanita yang yang mendakwa dari Mahkamah Terengganu awal bulan lalu.

Modus operandi sindiket Macau Scam ini hampir serupa.

Mereka memang punya perancangan dan strategi yang ampuh dan berkesan menyebabkan orang ramai mudah terpedaya. Kemahiran berkomunikasi mereka luar biasa.

Wanita tersebut mendakwa akaun mangsa disalah guna untuk tujuan jenayah, iaitu untuk pembelian dadah dan menggelapkan wang sebuah bank berjumlah RM90,000.

Mangsa kemudian dihubungi seorang lelaki bernama ‘Sufian Sulaiman’ yang yang mendakwa akaun mangsa digunakan untuk penggelapan wang serta penyeludupan dadah.

Lelaki itu  meminta mangsa untuk memindahkan wang dari dalam akaun mangsa ke akaun lelaki berkenaan untuk mengelakkan akaun dibekukan.

Kemudian, wanita itu diarahkan untuk menukar nombor telefon bagi pendaftaran sistem perbankan dalam talian ke nombor telefon yang diberikan oleh lelaki tersebut.

Maka, dari situlah bermulanya mimpi ngeri bagi wanita berkenaan apabila beliau memasukkan wang keseluruhan berjumlah RM1,096,800 ke akaun lain milik mangsa secara berperingkat mulai 7 Mei hingga 20 Mei melalui 18 transaksi.

Mangsa hanya menyedari ditipu setelah membuat semakan melalui mesin ATM dan mendapati baki akaunnya hanya tinggal RM21 sahaja.
Bayangkan kekesalan wanita itu?  Ya, sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna.

Nasi sudah menjadi bubur. Kita juga tentu hairan bagaimana seseorang menyimpan wang sebanyak itu di dalam bank, dan bukannya di dalam amanah saham atau melabur di tempat lain.

Polis melaporkan, dari 1 Jan hingga 20 Mei 2019 sebanyak 63 kes Macau Scam dilaporkan di Sarawak melibatkan kerugian RM3.9 juta dengan 15 tangkapan.

Untuk rekod,  media melaporkan sebanyak 209 kes Macau Scam dilaporkan dalam tempoh Januari hingga Disember 2018 melibatkan jumlah kerugian melebihi RM10.3 juta di Sarawak.
Sebanyak 49 tangkapan dibuat pada tahun 2018 dan 15 tangkapan pada tahun 2019.

Kes Macau Scam bukan baharu. Pihak polis Sarawak telah melaporkan kejadian penipuan itu banyak kali. Namun, ia masih juga berlaku.

Bagi mereka yang tidak pernah kena, mungkin mudah menuduh betapa ‘bodoh’ dan lekanya mangsa. Sebab, dengan mudah menyerahkan wang begitu sahaja kepada orang yang tidak dikenali.

Gejala ini bagai menjadi-jadi, dan tidak ada titik noktah, sebaliknya terus menggila. Apakah puncanya? Di manakah silapnya? Bolehkah kita letakkan kesilapan itu di bahu mangsa semata-mata?

Atau kita perlu persalahkan sindiket berkenaan yang mendapat kesenangan atas penderitaan orang lain. Penipu ini mempunyai otak bergeliga dan mempunyai seribu satu helah dan pendekatan untuk mendapatkan wang mudah daripada mangsa.

Ini kerja yang tidak bermoral dan satu jenayah yang tidak boleh dibiarkan. Mereka perlu dijejaki sehingga ke lubang cacing dan kalau ditangkap diheretkan ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman berat.

Ya, memang bagai tidak masuk akal, bagaimana semudah itu untuk kita menyerahkan wang sebanyak itu kepada orang yang tidak kita kenali, hanya kerana kita diugut.

Terus terang, dan ini mungkin agak memalukan, saya juga pernah diperdaya oleh Macau Scam. Bagaimana saya juga boleh tertipu, saya sendiri pun tidak faham sedangkan saya sentiasa mengikuti berita berkenaan dengan penipuan itu dan modus operandi licik mereka.

Segalanya bermula apabila saya menerima telefon di KLIA, sekitar 15 minit lagi hendak menaiki pesawat ke Kuching. Lelaki itu menelefon saya, mendakwa saya berhutang kad kredit sebanyak RM8,000 daripada sebuah bank, sedangkan saya tidak memilik kad tersebut. Kata lelaki itu, dia akan hubungkan saya dengan pegawai dari Bank Negara.

Saya beritahu dia, untuk menghubungi saya kembali sekitar 6.15 petang. Tepat pada waktunya, ketika saya masih menunggu bagasi untuk keluar dari pintu kedatangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, seorang perempuan pun menelefon saya. Memberitahu bahawa kad ATM saya mungkin juga sudah ‘diganggu’ oleh pihak tertentu.

Maka saya diminta pergi ke ATM berdekatan, dan mengikut arahan satu per satu, memindahkan wang saya. Bayangkan ceritanya semudah itu beralih daripada kad kredit kepada kad ATM saya. Memang tidak logik. Saya bagai terpukau.

Pertama,  saya diminta memindahkan wang saya dari bank A, kemudian dari bank B ke dalam akaun seseorang.  Betul-betul ini kerjasama membabitkan tiga kaum.

Saya mengikut sahaja apa-apa arahannya, tanpa soal. Saya kata, saya ada satu lagi bank. Dia kata, bank itu, tak boleh, kerana bank antarabangsa.

Kalaulah dapat, tentu terbang lagi duit saya dalam tempoh kurang 10 minit. Gaya wanita yang kononnya dari Bank Negara itu amat-amat profesional, dengan bahasa Inggeris yang amat fasih dan lancar.

Kemudian saya pun balik ke rumah dan terus tidur. Sekitar jam 11 malam, saya terbangun. Saya bagai terkejut dan sedar bahawa saya telah kena tipu. Namun, sudah terlewat.

Hari berikutnya, perempuan itu menelefon lagi memberitahu saya, ada sesuatu yang tidak kena dengan urusan semalam, dan mahu saya mengulanginya. Saya tahu, saya tidak akan masuk ke dalam lubang untuk kali kedua. Saya terus memberi kuliah kepada wanita itu.

Beberapa hari kemudian saya membuat laporan polis. Tetapi sehingga hari ini, saya tidak tahu, apa perkembangannya, kerana selepas laporan itu dibuat, saya tidak menerima sebarang perkembangan. Mungkin mereka sibuk menyiasat banyak kes Macau Scam yang lain agaknya.

Jadi, apabila berlaku kejadian sedemikian menimpa mangsa lain, saya amat mengerti. Bagi mereka yang tidak pernah kena, memang mudah melemparkan tuduhan dan penilaian. Tetapi apabila sudah kena batang hidung sendiri, baru tahu.

Profesor Madya Dr Jeniri Amir ialah pensyarah dan penganalisis politik di Universiti Malaysia Sarawak.