PLYMOUTH: Hatty, kucing milik Kirsty Howden menyebabkan pasukan bomba terpaksa menghabiskan masa serta wang AS$7,500 (RM31,000) gara-gara mahu menyelamatkannya.

Hatty berusia 5 tahun terperangkap di Jambatan Royal Albert yang menghubungkan Plymouth dan Saltash, selama enam hari.

Berbagai usaha dilakukan untuk menyelamatkannya antaranya menutup landasan kereta api di jambatan terbabit.

Namun Hatty masih gagal diselamatkan.

Setelah berusaha selama enam hari tanpa berhasil, pihak bomba mengambil keputusan untuk kembali semula pada keesokan harinya.

Pada hari ketujuh Hatty bagaimanapun berasa bosan menunggu dan ia sendiri berjaya keluar dari tempat tersebut tanpa sebarang bantuan.

Menurut Kirsty, Hatty tiba-tiba muncul di rumahnya dengan selamba seperti tiada apa-apa berlaku padanya selama seminggu ia menghilang.