Thursday, June 30, 2022

Kenapa lantikan Latheefa dibuat semberono dan tergesa-gesa?

Secara Rawak

Pelantikan Latheefa Beebi Koya atau Latheefah Koya menggantikan Datuk Seri shukri Abdull oleh Perdana Menteri Tun Mahathir sebagai Ketua SPRM dilihat sebagai suatu yang mengejutkan memandangkan Datuk Shukri masih lagi mempunyai baki kontrak setahun. Lebih-lebih pengumuman dibuat pada petang Hari Raya menjadikan ia satu tanda tanya kenapa dibuat secara semberono dan tergesa-gesa?

Pelantikan ini bukan sahaja tidak diketahui oleh pimpinan tertinggi Parti Keadilan (PKR) malah ia tidak dibincangkan di peringkat jawatankuasa khas kabinet yang pernah di umum kan pada tahun 2018 oleh Perdana Menteri sendiri yang ditubuhkan bertujuan khusus untuk membincangkan perkara seumpama ini.

Sekiranya ada yang berhujah mengatakan bahawa Tun Mahathir tidak melanggar apa-apa undang-undang dalam isu ini, kita tahu dan sedar bahawa beliau sememagnya tidak melanggar apa-apa undang-undang. Malah seksyen 5 akta SPRM 2009 memberikan kuasa kepada agong untuk melantik sesiapa sahaja menjadi Ketua SPRM di atas nasihat perdana menteri di atas apa sahaja tempoh dan syarat.

Namun itu bukan persoalan utamanya. Persoalan utama ialah prinsip dan janji itu sendiri. Kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang kepada janjinya.

Dalam manifesto Pakatan Harapan pada PRU ke-14 jelas dalam janji ke-14 pakatan harapan khusus untuk reform SPRM termasuk bahawa selepas ini SPRM akan melapor terus kepada Parlimen dan bukan sekadar Perdana Menteri.

Kedua, Latheefa Koya, walaubagaimana kita letak tinggi beliau sekalipun dan walau sudah meletak jawatan, adalah seorang ahli politik yang bergiat cergas di dalam parti keadilan rakyat itu sendiri.

Oleh kerana itu, kita harus sedar prinsip dan tatacara keadilan itu sendiri. Keadilan itu bukan sekadar perlu berlaku adil, tetapi juga perlu dilihat adil. Dalam mahkamah sekalipun, sekiranya hakim tersebut dilihat ada perkaitan dengan salah satu dari pihak yang didengarkan kes, maka pihak satu lagi boleh memohon agar hakim tersebut di ganti kepada orang lain. Walaupun hakim tersebut berkata beliau boleh menjadi adil dalam perbicaraan ini, itu bukan persoalannya. Persoalannya, bukan sekadar hakim itu kena berlaku adil, perbicaraan tersebut perlu dan mesti dilihat adil.

Ini sebab utama kenapa pelantikan Latheefa koya adalah suatu kesilapan yang besar kerana beliau dilantik dari kalangan orang politik.

Ada yang berhujah, kerana Latheefa orang Azmin Ali maka pihak kami berbunyi dan membuat kenyataan sebegini. Jawapan kami, kalau Rafizi Ramli dilantik sekalipun, dan dia enggan meletak jawatan atau menolak pelantikan tersebut, kami akan tetap menentang dan menyatakan prinsip reform yang di perjuangkan selama ini.

Inilah reform yang kita mahu bawa di dalam sistem kerajaan. Reform ke arah check and balance yang lebih baik dan telus agar kita dapat mengarah ke arah kerajaan yang lebih baik. Bila kuasa diberikan terlalu banyak kepada seorang sahaja, maka kita akan sedikit demi sedikit menarik kerajaan baru ini ke arah pemerintahan kuku besi Barisan Nasional sebelum ini. Oleh kerana itu, reform itu perlu berlaku dari dalam dan perlu berlaku segera!

Kami dari pro reformist 98 Sarawak, menyeru agar saudari Latheefa Koya, sebagai orang yang pernah mengharungi perjuangan refomasi ini, bermuhasabah kepada perjuangannya dan perlu meletak jawatan sekiranya beliau benar berpegang kepada prinsip. Ingatlah pada hadis Rasulullah saw. “Jika engkau tidak malu, maka lakukanlah apa sahaja yang engkau mahu.” (HR Bukhari)

Sekian,

Iswardy Morni
Pengerusi Pro Reformist 98 Sarawak
#SarawakBaharuSarawakMaju
#proreformistSarawak

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru