Aktiviti pelancongan jana pendapatan penduduk

BEAUFORT: Tarikan pelancongan berasaskan hidupan liar dan alam semulajadi di Kampung Gerama dekat sini dilihat dapat menjana pendapatan kepada penduduk kampung berkenaan yang menerokai bidang itu.

Awang Masis Ahmad, 57, adalah seorang daripada dua pengusaha pelancongan di kampung berkenaan yang berkecimpung dalam bidang itu atas minatnya dengan aktiviti pelancongan.

Dia mengusahakan sebuah pusat penginapan dan membawa pelancong menyusuri sungai Gerama melihat monyet proboscis (Monyet Belanda) dan kunang-kunang atau kelip-kelip.

Awang Masis membuka pusat penginapan itu sejak 2000 setelah memperoleh permit daripada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri.

Sejak memperoleh permit itu, Awang Masis tidak menoleh ke belakang malah terus memberikan komitmen kepada bidang yang diminatinya itu dengan membuka pusat penginapan di tanah seluas satu hektar dan membina jeti yang terletak di tepi sungai Gerama.

“Bidang ini bukan sahaja dapat mewujudkan pendapatan untuk saya menyara keluarga tetapi pada masa sama saya dapat membawa nama kampung (Gerama) kepada dunia luar.

“Ini menerusi kunjungan pengunjung kalangan pelancong asing dan tempatan ke kampung ini untuk melihat keindahan semulajadi yang ada dan hidupan liar iaitu monyet proboscis,” katanya kepada Bernama di sini.

Aktiviti menyusuri sungai Gerama bagi melihat monyet proboscis bermula pukul 4.30 petang dan diteruskan sehingga 7.00 malam untuk melihat kunang-kunang sebelum balik ke jeti pusat penginapan bagi menikmati makan malam sebelum balik ke Kota Kinabalu.

Awang Masis berkata, beliau menawarkan pakej menyusuri sungai Gerama itu menerusi beberapa agen pelancongan di Kota Kinabalu.

Tempat itu juga menjadi lokasi bagi pelajar Universiti Malaysia Sabah melakukan kerja lapangan menerusi kerjasama yang dijalin dengan universiti itu.

“Ini membolehkan saya memberi sumbangan kepada aktiviti penyelidikan dan membantu pelajar dalam kerja lapangan mereka mengenai hidupan liar dan alam semulajadi,” katanya yang mempunyai tujuh anak.

Seorang lagi pengusaha pelancongan di Kampung Gerama ialah Salleh Anak, 50, yang mengusahakan perniagaan itu sejak tujuh tahun lepas dengan seorang rakan kongsi.

Premisnya beroperasi dengan menyewa rumah kedai Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) yang turut menawarkan pakej menyusuri sungai Gerama melihat monyet proboscis dan kunang-kunang.

Terdapat juga kawasan lain di Beaufort yang menawarkan pakej pelancongan yang sama iaitu di Sungai Klias dan Weston.

Ia bukan sahaja dapat menjana pendapatan kepada pengusaha yang berkecimpung dalam bidang itu malah menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.