KUALA LUMPUR: Pemain skuad Harimau Malaya diminta bersedia menukar strategi dan rentak pemainan mengikut tuntutan permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil ketika berdepan Timor Leste pada pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Jumaat malam.

Keadaan padang dilaporkan tidak memuaskan berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu di ibu negara dan oleh itu ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe mahu anak buahnya supaya lebih fleksibel dalam percaturan permainan bagi mendapatkan kemenangan.

Keadaan padang yang dikatakan lembut dan licin itu memaksa latihan rasmi skuad Harimau Malaysia pada Khamis dipindah ke padang Majlis Sukan Negara (MSN).

“Walaupun mengharapkan keadaan padang yang lebih memuaskan, kami tetap meneruskan momentum dengan persediaan baik dilakukan sejak beberapa hari lalu,” kata Cheng Hoe pada sidang media praperlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Terdahulu, jurulatih berusia 51 tahun itu melontarkan perasaan kurang senang terhadap keadaan permukaan padang di stadium terbabit selepas mengalahkan Nepal 2-0 dalam aksi persahabatan, Ahad lalu.

Gambar fail

Biarpun dianggap pasukan pilihan, Cheng Hoe memberi amaran kepada anak buahnya supaya lebih berwaspada dengan barisan penyerang Timor Leste serta gabungan pemain Sukan Asia 2018 dan Kejuaraan Persekutuan Biola Sepak ASEAN (AFF) dalam skuad lawan itu.

“Saya tidak boleh terlalu yakin memandangkan pasukan lawan membuat persediaan yang cukup baik sejak tiba di Malaysia beberapa hari yang lalu. Saya pasti jurulatih pasukan itu, Norio Tsukitate tahu kelebihan dan kelemahan pasukan kita,” katanya.

Cheng Hoe berkata tiga pemain daripada senarai 26 pelatih digugurkan iaitu pemain tengah Syahmi Safari dan Abdul Halim Saari yang mengalami kecederaan dan pemain pertahanan, Rodney Celvin Akwensivie.

Sementara itu, ketua pasukan negara, Farizal Marlias yakin mereka cukup bersedia dari segi fizikal dan kekuatan mental untuk mara ke pusingan kedua kelayakan.

“Saya rasa pemain Timor Leste ini pantas melakukan serangan balas, jadi kami perlu berhati-hati. Semua pemain kita komited dan yakin pengorbanan sambutan Aidilfitri berbaloi,” katanya.– BERNAMA