Model ekonomi baharu yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan tema kemakmuran bersama amat signifikan kepada rakyat Malaysia terutama rakyat Sarawak yang berada di luar bandar.

Di Sarawak, kebanyakan kawasan parlimen terletak di luar bandar. Majoriti yang tinggal di luar bandar ialah kaum Dayak dan lebih spesifik kaum Iban. Dalam era baharu politik Malaysia yang kini diterajui Pakatan Harapan (PH), amat besar harapan komuniti di luar bandar seperti di Sarawak agar nasib mereka terus terbela.

Majoriti komuniti di luar bandar ini ialah golongan petani yang mengusahakan tanaman komoditi seperti lada hitam, kelapa sawit, getah dan sebagainya demi meneruskan kelangsungan hidup.

Demi kelestarian kehidupan penduduk di luar bandar yang kini dihimpit kejatuhan harga tanaman komoditi seperti lada hitam, kelapa sawit dan getah, kerajaan PH perlu memikirkan mekanisme yang padu untuk membantu golongan pengusaha tanaman ini keluar daripada kepompong kejatuhan harga ini.

Bantulah golongan ini dengan mencari jalan agar harga tanaman komoditi ini dapat diterima serta mempunyai nilai kepada para pengusaha di luar bandar.

Dalam pembentangan belanjawan tahun lepas tidak begitu fokus kepada kelestarian kehidupan para pengusaha tanaman komoditi ini yang berada di luar bandar. Realitinya, komuniti Dayak yang tinggal di luar bandar merupakan golongan petani yang mengusahakan NCR yang menjadi sumber utama ekonomi penduduk di luar bandar. Ramai antara penduduk di luar bandar terutama kaum Iban tidak bersetuju dengan mekanisme  usaha sama dengan syarikat-syarikat besar untuk mengusahakan tanah mereka seperti yang berlaku sekarang.

Ini kerana pulangan serta hasil yang diterima tidak berbaloi dan hanya memberi keuntungan kepada syarikat-syarikat besar tersebut.

 

Oleh itu, kerajaan PH perlu mencari mekanisme yang sesuai serta boleh diterima untuk membangunkan tanah NCR penduduk di luar bandar.

Satu kaedah baharu perlu diketengahkan oleh kerajaan untuk membantu penduduk di luar bandar membangunkan tanah NCR mereka.

Namun, perkara berkaitan tanah ini merupakan ‘prerogatif’ kerajaan negeri yang perlu berani mengiktiraf tanah NCR penduduk di luar bandar dengan mengeluarkan surat hak milik tanah.

Kerajaan Sarawak kini harus mengutamakan rakyat di luar bandar yang selama ini kurang diberi perhatian.

Bantu rakyat yang selama ini menyokong serta memilih anda menjadi wakil mereka.

Jangan hanya berjanji kosong demi meraih undi semasa pilihan raya sahaja. Kebelakangan ini, kerajaan Sarawak telah memberi geran tanah kepada individu di beberapa kawasan di Sarawak.

Nawaitu, merungkai kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke -11 baru-baru ini, yang merupakan rujukan serta panduan kerajaan baharu dalam mentadbir Malaysia harus dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab demi rakyat.

Perkara yang baik jangan dipolitikkan.

Menuju Ke Arah Pembangunan Wilayah Seimbang;  Mempercepat Pembangunan di Sabah dan Sarawak.

Strategi pelaksanaan menerusi Strategi C5 iaitu meningkatkan pembangunan tanah adat.

Strategi ini amat signifikan kepada penduduk di luar bandar yang mempunyai tanah adat untuk dibangunkan.

Apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan adalah memberi atau menyediakan peruntukan khas kepada semua kawasan parlimen terutama di luar bandar seperti di Sarawak untuk mencapai objektif murni kerajaan ini.

Alternatif tanaman kepada tanaman komoditi sedia ada sekarang harus diperkenalkan seperti durian musang king, laici, cili, nanas dan sebagainya.

Tanaman ini atau hasil pertanian seperti ini harus diperkenalkan kepada rakyat di luar bandar demi meningkatkan lagi pendapatan mereka.

Peruntukan yang diberikan kepada setiap parlimen harus terus sampai kepada rakyat untuk membangunkan terus tanah adat mereka tanpa melalui usaha sama dengan syarikat-syarikat seperti amalan sekarang. Tuntasnya, tanah adat mereka merupakan hak mereka.

Justeru, bagi Tonggak VI iaitu Memperkukuh Pertumbuhan Ekonomi melalui Bidang C iaitu Menyediakan Infrastruktur Berkualiti.

Pelaksanaan melalui strategi C2 iaitu memperkukuh logistik dan fasilitasi perdagangan.

Ini amat sesuai untuk membantu penduduk di luar bandar terutama bagi mereka yang terlibat dengan aktiviti perdagangan.

Kerajaan harus menyediakan peruntukan untuk membina atau memperbesarkan tempat berniaga seperti tamu di setiap kawasan parlimen terutama di luar bandar.

Ini kerana dengan pertambahan penduduk serta para peniaga yang ingin memasarkan produk mereka seperti kraf tangan, sayur-sayuran serta buah-buahan dan sebagainya amat memerlukan kemudahan seperti ini.

Secara tidak langsung dengan menyediakan kemudahan seperti ini, para peniaga di luar bandar mempunyai kemudahan yang selesa untuk melakukan aktiviti perniagaan mereka.

Kerajaan harus memperkasa ekonomi penduduk di luar bandar terutama di Sarawak agar tidak jauh ketinggalan dalam era kerajaan PH sekarang.

Apa yang penting sekarang, kerajaan PH dan Kerajaan Sarawak harus mempunyai iltizam politik yang tinggi untuk melaksanakan pembangunan di kawasan luar bandar.

Semoga model ekonomi baharu ‘Kemakmuran Bersama’ dapat juga dirasai rakyat Sarawak terutama penduduk di luar bandar.

Penulis merupakan penganalisis politik serta pensyarah dalam bidang sains politik di UNIMAS.