Sunday, September 25, 2022

Taib: Pemimpin perlu ada kebijaksanaan, keberanian luar biasa

Secara Rawak

KUCHING: Meskipun orang Islam di Sarawak ialah golongan minoriti, namun pemimpin Islam yang menerajui negeri ini dengan yang bukan Islam telah bekerjasama mentadbir negeri ini dengan cukup adil, saksama, toleran dan saling menghormati.

Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud berkata, pemimpin memainkan peranan penting dalam proses membangunkan negara dan membela nasib rakyat.

Oleh itu, kata beliau yang pernah menjadi Ketua Menteri selama 33 tahun, pemilihan pemimpin tidak dapat dilakukan mengikut emosi.

“Semua pemimpin harus mempunyai kebijaksanaan dan keberanian luar biasa dalam menangani cabaran dan menguruskan pelbagai tuntutan masyarakat pada masa kini,” katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri.

Umat Islam meraikan Aidilfitri pada hari ini, dan di Sarawak akan terus diraikan sepanjang Syawal.

Taib berkata, pemimpin memerlukan sifat berkenaan kerana rakyat Sarawak terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan tuntutan berbeza.

“Maka, pemimpin dan masyarakat perlu bersatu mencari penawar dan bekerjasama terhadap isu-isu yang berbangkit,” katanya.

Ini, kerana, ujar beliau, semua pihak mempunyai kehendak dan keperluan tersendiri yang perlu dipenuhi.

“Justeru, pemimpin memerlukan kebijaksanan dalam menguruskan pelbagai kemahuan, tuntutan dan agama sebagai tunjang,” katanya lagi.

Beliau juga berkata, pemimpin perlu amanah, bertanggungjawab dan tidak sesekali mengkhianati janji dan dasar, kerana tindakan itu hanya mendatangkan kemudaratan kepada rakyat.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru