Monday, December 5, 2022

Demokrat sertai PPRP untuk bentuk kerajaan campuran, Prayuth kemungkinan kekal Perdana Menteri

Secara Rawak

BANGKOK:  Jen Prayuth Chan-o-cha semakin hampir untuk kekal sebagai Perdana Menteri Thailand berikutan pengumuman Demokrat untuk menyertai Palang Pracharat (PPRP) yang pro junta untuk membentuk kerajaan campuran.

Esok, Dewan Perwakilan dan Senat Thailand akan bersidang dalam satu sesi bersama parlimen untuk mengundi bagi memilih perdana menteri, persaingan antara Prayuth, pemimpin rampasan kuasa tentera 2014 dan calon barisan demokratik Thanathorn Juangroongruangkit dari Future Forward Party (FFP).

Dalam masa kurang 24 jam sebelum mengundi, pemimpin Parti Demokrat, Jurin Laksanawisit mengumumkan parti tersebut menerima jemputan menyertai PPRP untuk membentuk kerajaan Thailand yang akan datang.

Selepas bersidang selama lebih enam jam, Jurin berkata 53 Anggota Parlimen parti itu akan memberi sokongan kepada Prayuth sebagai perdana menteri dan kerajaan pimpinan PPRP.

Majoriti mengundi untuk menyertai PPRP bagi membentuk kerajaan campuran,” katanya pada sidang media di ibu pejabatnya di sini hari ini. Eksekutif parti Demokrat dan Ahli Parlimen mengundi dengan keputusan 61-16 untuk menyertai gabungan itu, dengan dua berkecuali.

Berikutan pengumuman Demokrat malam ini, PPRP mempunyai 203 kerusi di dewan rendah dengan 18 parti politik, termasuk parti kecil yang diperuntukkan dengan senarai satu kerusi. Barisan Demokratik yang terdiri daripada tujuh parti mempunyai 246 kerusi.

Pada masa ini, Bhumjaithai yang memenangi 51 kerusi pada pilihan raya umum, adalah satu-satunya parti politik yang tidak membuat sebarang pengumuman rasmi untuk menyertai mana-mana pakatan tetapi, ia berkemungkinan menyertai PPRP.

Minggu lepas, pemimpin parti Bhumjaithai, Anutin Charnvirakul berkata “Bhumjaithai akan menyertai kerajaan yang stabil” dan dia mengakui bahawa PPRP adalah gabungan yang stabil.

Esok, seramai 499 daripada 500 anggota Dewan Perwakilan dan 250 senator akan bersidang di TOT Plc Auditorium di Chaeng Wattana Road, yang berfungsi sebagai bangunan parlimen sementara ketika bangunan parlimen yang baharu sedang dibina.

Perdana Menteri memerlukan sekurang-kurangnya 386 undi dari kedua-dua dewan parlimen. Berikutan pengumuman Demokrat malam ini, Prayuth mendahui pencabarnya, Thanathorn.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru