Monday, September 26, 2022

Sarawak terus pacu transformasi untuk maju menjelang 2030

Secara Rawak

KUCHING: Pendekatan transformasi sosio-ekonomi ke arah ekonomi digital serta pelaksanaan 65 inisiatif demi rakyat Sarawak akan memacu Sarawak mencapai status negeri maju menjelang 2030.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak juga komited untuk terus memberi kerjasama dan membina jalinan persefahaman dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) demi manfaat seluruh rakyat di negeri ini.

“Sebagai pemimpin negeri, saya dan seluruh pasukan meletakkan visi menjadikan Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030.

“Kita yakin seluruh anak Sarawak juga ingin melihat dan menikmati kemajuan, kesejahteraan dan kehamonian negeri sebagaimana yang kita impikan bersama dan melalui pendekatan transformasi sosio-ekonomi ke arah ekonomi digital, serta pelaksanaan 65 inisiatif demi rakyat Sarawak, visi Sarawak menjadi negeri maju menjelang tahun 2030 akan tercapai,” jelasnya dalam Perutusan Hari Raya Aidilfitri 2019, hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Menteri memberitahu, Kerajaan Sarawak sentiasa prihatin dengan permasalahan yang dihadapi oleh rakyat terutama yang menetap di kawasan pedalaman dan persisir di negeri ini.

Menurutnya, kerajaan negeri melalui pelbagai agensi memberi komitmen padu bagi memastikan kemudahan asas seperti bekalan air bersih, bekalan elektrik dan kemudahan pengangkutan yang menjadi nadi hubungan bagi setiap rakyat akan dipertingkatkan dari masa ke semasa.

“Pembangunan kemudahan bekalan air bersih umpamanya, pada masa ini Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) sedang giat meningkatkan prasarana itu di kawasan luar bandar dan diharapkan dengan usaha jangka panjang ini mengurangkan bilangan kampung yang terjejas.

“Begitu juga dengan projek bekalan elektrik, jalan raya dan jambatan-jambatan yang menghubungi setiap ceruk negeri telah diluluskan dan sedang dalam proses perancangan dan pelaksanaan,” ujar beliau lagi.

Ketua Menteri menambah, Kerajaan Sarawak juga telah bersetuju untuk mengambil tanggungjawab terhadap kebajikan serta kesejahteraan rakyat dengan menggunakan sumber kewangan kerajaan negeri bagi meneruskan projek-projek pembangunan sebagaimana yang telah dijanjikan.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh anak Sarawak yang terdiri daripada pelbagai bangsa, keturunan, pegangan agama dan fahaman politik bersama-sama berusaha mengekalkan perpaduan dan keharmonian rakyat di negeri ini.

“Tiada yang lebih indah, melainkan kebahagian, kesejahteraan, keharmonian dan kemakmuran negeri ini untuk dinikmati oleh semua anak Sarawak dan seluruh rakyat Malaysia umumnya,” katanya. Edisi UKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru