Ketua Menteri ajak anak Sarawak kekalkan perpaduan, keharmonian

KUCHING: Sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Ketua Menteri mengajak seluruh anak Sarawak, berbagai-bagai bangsa, keturunan, pegangan agama dan fahaman politik untuk sama-sama berusaha mengekalkan perpaduan dan keharmonian rakyat di negeri ini.

“Tiada yang lebih indah, melainkan kebahagian, kesejahteraan, keharmonian dan kemakmuran Negeri Sarawak untuk dinikmati oleh semua anak Sarawak dan seluruh rakyat Malaysia umumnya,” kata Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri 2019.

“Marilah kita sama-sama merayakan hari yang mulia ini dengan semangat muhibbah dan persaudaraan antara sesama manusia tanpa mengira perbezaan agama dan keturunan. Saling menghormati pegangan agama dan budaya masing-masing,” katanya.

Umat Islam meraikan Aidilfitri pada esok hari.

“Sesungguhnya Islam adalah Agama Fitrah, dengan keseluruhan ajarannya bermatlamatkan menjaga kemuliaan Insan sebagai manifestasi keagungan dan kebesaran Allah SWT,” kata beliau.

Ketua Menteri berharap amalan kunjung-mengunjung  diteruskan supaya Hari Raya menjadi lebih bermakna kepada kita semua.

Beliau dan isteri akan mengadakan rumah terbuka di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK)  di sini pada hari pertama dan kedua Aidilfitri daripada pukul 10.00 pagi hingga 4.00 petang.

“Bagi saudara dan saudari yang berkesempatan datanglah beramai-ramai ke BCCK pada hari-hari berkenaan. Semoga dengan dengan kehadiran anda mengukuhkan lagi tali persaudaran antara kita,” katanya.

Abang Johari dan isteri serta keluarga mengucapkan “Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Negeri Sarawak.