Abang Johari: Janganlah lupa hak golongan yang memerlukan perhatian, bantuan

KUCHING: Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sebagai umat Islam Hari Raya  perlu diraikan dengan penuh rasa kesyukuran dan kegembiraan sebagai tanda kemenangan mengharungi pelbagai dugaan selama sebulan dalam bulan Ramadan.

Menurut Ketua Menteri,  umat Islam telah menahan diri daripada lapar dan dahaga serta mentarbiahkan diri dengan mengerjakan amal ibadah sepanjang bulan Ramadan demi menunaikan kewajipan sebagai seorang Mukmin.

“Namun, berpuasa dalam Islam bukan hanya  bermaksud menghindarkan diri daripada makan dan minum, bahkan ia merupakan latihan dan peringkatan pada diri untuk mengawal serta mendidik nafsu dan keinginan yang mementingkan diri dari semua tindakan yang memudaratkan diri sendiri atau orang lain,” katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri 2019.

“Semoga kita semua dapat menghayati Ramadan tahun ini dengan sebaik-baiknya demi meningkatkan kualiti kehidupan ke arah yang lebih bermakna pada masa akan datang,” katanya.

“Dalam pada merayakan Aidilfitri ini, umat Islam janganlah lupa mengenai hak-hak golongan yang memerlukan perhatian, sokongan dan bantuan kita agar mereka juga dapat sama-sama menyambut Hari Raya dengan penuh rasa kesyukuran terhadap limpah dan kurnia Allah Subhanahu Wa Ta’ala,” ujarnya.

“Dalam kita merayakan Hari Raya dengan penuh selesa, masih ada lagi adik kakak serta saudara mara kita yang terpaksa mengharungi suasana Hari Raya dalam keadaan serba kekurangan,” katanya.

“Saya berdoa dan berharap semoga semua sentiasa tabah menghadapi segala cabaran dalam kehidupan. Sesungguhnya setiap manusia tidak akan terlepas dari ujian dan cabaran kehidupan. Di situlah penilaian kejayaan sebenar bagi manusia. Bagi umat Islam, ibadat puasa mengajar kita erti kesabaran dan bersyukur dengan setiap nikmat yang dikurniakan,” katanya.

Justeru, jelas beliau, antara hikmah syariat mewajibkan setiap umat Islam menunaikan zakat fitrah sebelum solat Hari Raya Aidilfitri, adalah untuk melatih setiap individu muslim membuang rasa keterikatan dengan harta benda dan wang ringgit demi membantu dan memberi sumbangan kepada orang lain.  

“Puasa menahan diri dari runtunan nafsu, manakala zakat melepaskan diri dari ikatan kepentingan diri peribadi demi kepentingan umat dan masyarakat umum,” katanya.