Monday, September 26, 2022

25 kampung meriahkan pertandingan pintu gerbang di Sri Aman

Secara Rawak

SRI AMAN: Sebanyak 25 buah kampung mengambil bahagian di dalam Pertandingan Pintu Gerbang Piala YB Simoi Peri pada sambutan Aidilfitri tahun ini yang telah bermula malam 7 likur hingga malam ketiga Raya Aidilfitri.

Ini merupakan acara tahunan bagi penduduk-penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) YB Simoi Peri pertandingan ini yang diadakan secara tahunan ini bertujuan untuk menambah keceriaan dan kemeriahan sambutan Aidilfitri selain meningkatkan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Ini merupakan inisiatif Pusat Khidmat DUN Lingga dengan kerjasama setiap JKKK di peringkat kampung.

“Diadakan setiap tahun, pertandingan ini sentiasa mendapat sambutan yang menggalakkan. Tahun ini sebanyak 25 buah kampung di kawasan DUN Lingga telah mengesahkan penyertaan termasuk di kawasan Maludam.

“Dengan adanya cahaya-cahaya di pintu gerbang jalan memasuki kampung menggambarkan kemeriahan sambutan Aidilfitri pada tahun ini lebih menarik dan meriah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas dihubungi UKAS bagi memberikan secara terperinci mengenai pertandingan pintu gerbang ini.

Biarpun tidak lagi dihiasi dengan lampu-lampu minyak tanah dan pelita, pintu gerbang tetap meriah dengan cahaya dari lampu-lampu yang pelbagai warna dan corak.

Ditanya lanjut mengenai hadiah yang akan diterima pemenang, Simoi berkata sebanyak 5 hadiah telah disediakan kepada mereka yang berjaya mendapat tempat pertama hingga ke lima.

“Kampung yang menang akan menerima hadiah berupa wang tunai sebanyak RM900 kepada yang menjadi juara diikuti naib juara RM800 dan ketiga RM700.

“Sementara kampung yang mendapat tempat keempat dan kelima akan menerima hadiah berjumlah RM400,” tambahnya.

Hadiah akan disampaikan kepada kampung yang menang pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri DUN Lingga pada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru