Pasaran perumahan Sarawak perlahan

Gambar fail

Gambar hiasan

KUCHING: Pasaran perumahan di Sarawak perlahan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini disebabkan kesukaran mendapatkan pembiayaan dalam kalangan pembeli dalam tempoh tiga tahun lalu.

Selain itu, syarat peminjaman ketat berdasarkan bukti pendapatan berbanding peminjaman berdasarkan koloteral juga menjadi punca, kata

Pengerusi  Persatuan Perumahan dan Pembangunan Hartanah Sarawak cawangan Kuching (Sheda), Sim Kiang Chiok.

Beliau menjangka keadaan ini akan berterusan sehingga harga rumah mengendur ke tahap yang munasabah.

Beliau berkata, Bank Negara telah mengurangkan kadar faedah daripada 3.25 peratus kepada 3 peratus, membuktikan pertumbuhan ekonomi adalah perlahan.

“Justeru, ada keperluan mengurangkan kadar faedah bagi merancakkan kegiatan ekonomi pada kos yang lebih rendah,” katanya dalam satu kenyataan.

“Ini baik untuk semua pemilik rumah yang mempunyai pinjaman perumahan kerana bayaran bulanan akan dikurangkan, pembeli baharu akan mampu membeli rumah yang lebih tinggi harganya atau menikmati pembayaran bulanan yang lebih rendah,” ujarnya.

“Ini juga baik untuk pemaju kerana akan lebih mudah bagi mereka menjual rumah, selain mengurangkan kos modal,” katanya lagi.

Beliau berkata, perumahan ialah keperluan asas manusia, dan akan tetap ada permintaan apabila penduduk bertambah dengan pekerjaan yang baik.

Menurut  Sim, Bank Dunia meramalkan pertumbuhan ekonomi Sarawak pada kadar 4.7 peratus untuk 2019 dan 4.6 peratus bagi 2020 dan Malaysia akan muncul sebagai negara berpendapatan tinggi pada 2024.

Katanya,  pertumbuhan KDNK Sarawak  dijangka mencecah 5 peratus pada 2019.