WASHINGTON: Sekitar 30 tahun lalu, Lapangan Tiananmen di Beijing menjadi fokus protes besar-besaran.

Gerakan massa prodemokrasi itu kemudian dihancurkan oleh penguasa Komunis China secara brutal.

Hari ini, memperingati peristiwa Tiananmen, Menteri Luar AS Mike Pompeo mendesak China membebaskan semua tahanan politik sempena tiga dekad tragedi keganasan tentera terhadap penunjuk perasaan prodemokrasi di dataran berdarah itu.

“Kami mendesak China membebaskan semua yang ditahan semasa memperjuangkan hak dan kebebasannya,” ujar Pompeo sehari menjelang peringatan tragedi Tiananmen pada Isnin.

Pompeo turut mendesak China menghentikan semua penahanan sewenang-wenang dan menghapus semua program kontraproduktif dalam usahanya membanteras terorisme menggunakan isu agama dan politik.

China turut diminta mengeluarkan angka rasmi jumlah penunjuk perasaan yang tewas dalam tragedi berdarah 4 Jun 1989 itu.

Akhir Jun 1989, pemerintah Cina mengatakan hanya 200 warga awam dan beberapa dozen anggota keselamatan terkorban.

Namun sejumlah organisasi antarabangsa menjangkakan tragedi itu meragut sehingga ribuan nyawa.

Tragedi bermula daripada beberapa demonstrasi proreformasi pada pertengahan 1989.

Demonstrasi memuncak ketika mahasiswa dan khalayak menduduki Tiananmen.

Beberapa minggu kemudian, pada 4 Jun 1989 tentera China membelasah lautan manusia dengan kereta kebal dan menembak mereka.

Jasad mangsa dilaporkan bergelimpangan di Tiananmen.

Di China, sejarah itu terkubur dan didiamkan, namun mereka yang terselamat dan berjaya keluar dari China terus menghimbau kisah tragis itu.

Apabila Presiden Xi Jinping naik takhta, harapan rakyat melihat rahsia Tiananmen terbongkar semakin tipis.

Kini, ketika dunia memperingati tiga dekad tragedi pembantaian di Tiananmen China memperketat persekitaran Tiananmen pada Selasa.

Reuters melaporkan ratusan polis tidak berpakaian seragam memantau seluruh sudut Tiananmen, memeriksa kad pengenalan pengunjung dan menggeledah kereta yang lalu di kawasan terbabit.