Monday, September 26, 2022

RM210,000 diagihkan kepada 58 NGO di kawasan DUN Demak Laut

Secara Rawak

KUCHING: Sebanyak RM210,000 telah disampaikan kepada 58 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO’s) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut di sini, semalam.

Sumbangan kepada masjid dan surau adalah merupakan peruntukkan tambahan daripada peruntukkan yang telah disampaikan sebelum ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata peruntukkan ini merupakan permohonan yang dikemukakan kepada beliau bagi penganjuran pelbagai aktiviti kemasyarakatan di sepanjang tahun ini.

“Sumbangan kepada masjid berjumlah RM3,000 dan surau RM2,000 ini adalah sumbangan peruntukkan tambahan kepada peruntukkan yang sedia ada.

“Sebelum ini, masjid telah menerima peruntukkan sebanyak RM10,000 dan surau pula menerima RM6,000 yang telah disampaikan pada awal Ramadan ini.

“Tahun ini kita ada rezeki lebih untuk masjid dan surau. Adalah diharapkan Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid menggunakan peruntukkan ini dengan semaksima mungkin dalam penganjuran aktiviti dan program tahunan,” katanya di Majlis Sungkei, Sembahyang Maghrib, Isyak dan Terawih berjemaah di kediaman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni di Kesuma Resort.

Dalam pada itu, Dr Hazland juga mahu setiap penganjuran aktiviti dan program perlu dilibatkan golongan belia dan pemuda.

“Kita mahu penglibatan semua masyarakat termasuk golongan belia dan pemuda dalam aktiviti ini di peringkat kampung.

“Sebagai pemimpin pelapis, golongan ini perlu mendekatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan dalam membolehkan karektor pemimpin itu terserlah,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa setiap NGO’s mempunyai peranan tersendiri di peringkat kampung.

“Setiap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) seperti penghulu dan ketua kaum serta AJK JKKK mempunyai tugas rasmi di kampung dengan mewakili Kerajaan Sarawak di dalam kampung.

“Sebagai contoh, isu-isu yang berkaitan tanah di peringkat kampung adalah di bawah tanggungjawab JKKK dan harus diselesaikan menerusi JKKK.

“Sementara, Ranting PBB di peringkat kampung dan SABERKAS boleh membantu JKKK ini dalam menyelesaikan isu-isu berbangkit, tetapi keputusannya dibuat oleh JKKK,” tambahnya.

Beliau turut menggesa mana-mana JKKK yang masih belum mengadakan mesyuarat segera berbuat demikian bagi membolehkan setiap perancangan JKKK akan dapat dilaksanakan pada waktu yang ditetapkan.

Malah, beliau mencadangkan agar Timbalan Pengerusi JKKK hendaklah dilantik daripada kalangan ahli-ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi membolehkan kedua-dua NGO’s ini boleh bergerak bersama.

Pada majlis itu, Dr Hazland dan isteri turut menyampaikan sumbangan berupa duit raya kepada setiap pemimpin masyarakat dan NGO’s yang hadir.

Hadir sama isteri ADUN Demak Laut Dayang Halimah Abg Paul, bekas Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Hazemi Bujang, Ketua Wanita PBB Cawangan DUN Demak Laut Rokiah Tamben dan Ketua Pemuda PBB Cawangan DUN Demak Laut Kamal. – UKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru