Sudah banyak parti berteraskan tempatan ditubuhkan di Sarawak. Antara yang terbaharu ialah Parti Sarawak Bersatu (PSB).
Selain itu, terdapat parti tempatan lain seperti Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK).
Namun kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Sarawak meskipun berpaksikan perjuangan Melayu dan bumiputera akan tetapi dilihat sebagai parti luar yang baru hendak bertapak di Sarawak
Pakatan Harapan di Sarawak dilihat mempunyai kedudukan yang kukuh apabila PKR, DAP dan Amanah sudah lebih lama bertapak sekurang-kurangnya sudah menyertai pilihan raya umum di Sarawak pada tahun lepas.
Namun, parti Bersatu baru dilancarkan di Sarawak pada 1 Disember 2018.
Pelancaran ini mencipta sejarah baharu apabila parti ini merupakan parti yang disertai Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad buat pertama kali bertapak di Sarawak. Sebelum ini, Dr Mahathir dan Tun Abdul Taib Mahmud dikatakan mempunyai persetujuan tidak akan membawa parti UMNO masuk ke Sarawak .
Jadi, kali ini Dr Mahathir selaku Pengerusi Bersatu memecahkan tradisi apabila melancarkan Bersatu dan melengkapkan kehadiran semua parti komponen Pakatan Harapan (PH) selepas PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) ke Sarawak.
Dikhabarkan Bersatu di Sarawak mempunyai 30,000 ahli di 31 kawasan parlimen. Bersatu membawa agenda membela sosioekonomi bumiputera dan membantu meningkatkan penyertaan peniaga kecil.
Sehingga ini, Bersatu tidak berani membuat keputusan untuk mengumumkan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) pada 2021. Hal ini kerana yang mengawal kerusi Pakatan Harapan di Sarawak ialah DAP dan PKR kerana kedua-dua parti ini telah lama bertapak di Sarawak.
Bersatu juga sukar bergerak di Sarawak kerana DAP dan PKR sudah lama menjadi parti abang besar di Sarawak.

Dari aspek pengagihan jumlah kerusi pada pilihan raya negeri akan datang, dijangka DAP dan PKR akan memonopoli kerusi sebelum ini kebanyakan kerusi dipertandingkan mereka.
Dijangka tidak mudah untuk mereka menyerahkan kerusi kerusi yang berpotensi tinggi untuk dimenangi.
Jadi kemungkinan mendapat kawasan kerusi-kerusi yang sukar ditawan adalah tinggi. Hal ini kerana PKR dan DAP akan menggunakan alasan bahawa sudah lama bekerja keras di kawasan kerusi berpotensi tinggi untuk dimenangi.
Kalau tidak pun Bersatu terpaksa bersaing dengan Amanah untuk mendapatkan kerusi kedua terbaik. Namun Amanah juga boleh mendakwa parti mereka sudah lebih dahulu hadir, iaitu ketika pilihan raya umum yang lepas.
Peluang mendapat kerusi strategik adalah mencabar bagi Bersatu, meskipun Bersatu mempunyai status strategis di Putrajaya apabila menguasai tiga kementerian utama yang banyak diperlukan oleh rakyat Sarawak.
Kementerian Kemajuan Luar Bandar diterajui Datuk Seri Rina Mohd Harun ialah kementerian yang berkaitan dengan perubahan dan modeniti masyarakat luar bandar Sarawak manakala Kementerian Pembangunan Usahawan diketuai oleh Datuk Mohd Redzuan diperlukan bagi membantu usahawan baharu dan lama Sarawak.
Jawatan Menteri Pendidikan yang dikuasai Dr Maszlee Malik mempunyai kepentingan strategik dalam memastikan isu pendidikan, biasiswa dan peluang pendidikan anak Sarawak diberikan lebih perhatian di peringkat nasional dan negeri.
Berbanding jawatan Menteri Pendidikan Sarawak dilihat tidak banyak kuasa dan tarikan serta bantuan kepada rakyat Sarawak. Sedangkan ketiga-tiga kementerian ini boleh digunakan secara strategik dalam kempen pilihan raya negeri Sarawak pada bila-bila masa.
Kini Bersatu perlu bergerak secara agresif di peringkat akar umbi, menambahkan keahlian dan penyokong, mengemukakan isu-isu tempatan untuk memberikan keyakinan kepada rakyat Sarawak bahawa Bersatu lebih sesuai daripada DAP dan PKR dalam mengemukakan dan memperjuangkan isu-isu bersifat tempatan Sarawak.
Selain itu, cabaran terbesar Bersatu ialah apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri dalam masa terdekat ini, maka pengaruh Bersatu akan semakin kecil.
Manakala pengaruh PKR sebagai parti terbesar dalam Pakatan Harapan akan lebih besar dan berpengaruh serta menenggelamkan pengaruh Bersatu khususnya di Sarawak termasuk soal pengagihan kerusi nanti.