Monday, September 26, 2022

Lelaki hilang 3 hari ditemui mati di hutan Miri

Secara Rawak

MIRI: Selepas lebih 72 jam hilang, seorang lelaki Penan ditemui dalam keadaan tidak bernyawa oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan hutan di sini petang Sabtu.

Pemangku Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, mangsa sebelum itu ditemui sekitar jam 2.38 petang di Ulu Sungai Kelijat dalam keadaan tidak sedarkan diri, sebelum diusung ke Pusat Kawalan Bomba di Rumah Berberi Magelit, Sungai Kelijat, Lapok, Bakong, di sini.

“Setiba di pusat, mangsa diisytihar meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang menunggu, sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk prosedur selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, kata Ling Hii, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 3.30 petang pada Khamis yang memaklumkan kehilangan lelaki yang identitinya dikenal pasti sebagai Dian Koking, 56 tahun.

“Sepasukan enam anggota yang menaiki sebuah van kemudian dikejarkan ke lokasi untuk melaksanakan operasi SAR.

“Mereka hanya tiba di lokasi dua jam kemudian dan kawasan pencarian tiada liputan GIRN dan talian telefon.

“Sehubungan itu, pasukan SAR mendapat kerjasama kumpulan radio amatur untuk menyelaraskan komunikasi,” katanya lagi.

Beliau menambah, operasi itu turut serta tiga anggota polis, enam anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan 28 orang penduduk kampung.

“Sebelum mangsa ditemui, operasi hari ketiga dimulakan pada jam 9.30 pagi melibatkan radius pencarian sekitar dua ke tiga kilometer dari pusat kawalan,” katanya Ling Hii.

Susulan penemuan tersebut, Operasi SAR ditamatkan 30 minit kemudian. Punca kematian masih disiasat.

Foto ihsan JBPM Sarawak

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru