Monday, September 26, 2022

Projek tanaman nanas “Keningau Diamond’ bakal beri pulangan lumayan

Secara Rawak

LIMBANG: Seramai 27 orang peserta dari Kampung Pandam, Kampung Lupak Ranggas dan Kampung Lubok Panggie telah terpilih dalam Projek Tanaman Nanas Varieti ‘Keningau Diamond’ Bahagian Limbang.

Menurut Menteri Muda Pertanian YB Dr Abdul Rahman Ismail, projek ini dijangka akan bermula pada Ogos depan di tanah berkeluasan 6.75 hektar.

“Projek ini melibatkan tanaman nanas jenis Keningau Diamond” berbeza dengan tanaman nanas Sarawak iaitu MD2.

“Tanaman nanas Keningau Diamond ini telah kita perolehi hasil lawatan Kementerian Pertanian Sarawak bersama rombongan Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas ke Keningau bulan Mac yang lalu.

“Kos keseluruhan projek ini berjumlah RM70,000 yang dipecahkan kepada beberapa skop kerja dan input ladang antaranya Penyediaan Kawasan (pembersihan kawasan, stacking dan perparitan), Kompenan Bahan Tanaman Keningau Diamond dan Kompenan Input pertanian (baja, racun, hormon) dan peralatan ladang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan mesyuarat Bersama Jabatan Pertanian Bahagian Limbang – Projek Tanaman Nanas Varieti “Keningau Diamond’ Bahagian Limbang anjuran Jabatan Pertanian Bahagian Limbang di sini, semalam.

Pegawai Pertanian Bahagian Limbang Jafaruddin Ali menambah, nanas Varieti Keningau Diamond yang diperkenalkan ini kini sedang dalam proses pendaftaran oleh Jabatan Pertanian Malaysia.

“Nanas Varieti Keningau Diamond ini adalah spesis tanaman nanas yang baru diperkenalkan di Malaysia.

“Tingginya ialah 0.5 meter tumbuh menegak, mempunyai daun yang banyak dengan warna merah pada tengah daun. Kemanisannya pula adalah 16 hingga 18 Brix, sesuai dimakan segar dan diproses.

“Dituai dalam tempoh 130 hari selepas diberikan ‘hormone’ dan tahan selama dua minggu. Manakala berat buah 1.5 hingga 2.0 kilo dan ‘empulur’nya boleh dimakan,” jelasnya.

Turut hadir Penolong Pegawai Pertanian Bahagian Limbang Christopher Dawat Anur dan peserta-peserta Projek Tanaman Nanas.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru