Saturday, August 20, 2022

Perantau rela naik kapal dua hari untuk bersama-sama keluarga

Secara Rawak

JAKARTA: Disebabkan peningkatan harga tiket pesawat yang naik mendadak, sebahagian mereka yang mahu balik kampung di negara 265 juta jiwa ini, mencari alternatif lain, termasuk menaiki kapal.

Mereka dikenali sebagai pemudik.

Pemudik yang merantau di tempat lain kerana bekerja atau belajar dan mengikuti keluarga, menjadikan mudik atau balik kampung halaman sebagai satu kemestian.

Walau sejauh mana pun mereka berada, mereka mahu bersama-sama keluarga pada Hari Raya Aidilfitri pada minggu depan.

Pelabuhan, feri, lapangan terbang, jalan raya dan lebuh raya di negara 17,500 pulau ini dilaporkan sesak mulai beberapa hari lalu.

Sejumlah pemudik menggunakan jalan darat dan laut, meski harus menghabiskan waktu yang lebih lama berbanding dengan menaiki pesawat.

Tetapi perbelanjaan naik kereta atau kapal jauh lebih murah berbanding naik pesawat.

Contohnya, harga tiket pesawat dari Jakarta ke Solo mencapai Rp 2 juta sehala — memperlihatkan peningkatan dua kali  ganda dibandingkan tahun lalu.

Maksudnya jika tiga orang naik pesawat, harus berbelanja sekitar Rp 12 juta.

Ada yang rela berada di dalam kapal selama dua hari berbanding dua jam menaiki pesawat, hanya kerana ingin menjimatkan wang dan bersama-sama keluarga pada hari bermakna itu.

Sesungguhnya,  dengan berakhirnya bulan Ramadan, satu perkara dinantikan umat Islam ialah menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama-sama keluarga di kampung halaman.

Jadi, perjalanan dan kesukaran yang dialami ketika dalam perjalanan, termasuk dilambung ombak, tidak menjadi masalah besar.

Sebab, menyambut hari raya di kampung halaman, menjadi saat  paling gembira ditunggu-tunggu, apatah lagi sesudah berjauhan dengan sanak saudara dan keluarga untuk sekian lama.

Jadi, balik raya ialah satu kemestian kepada anak perantau yang tinggal di kota dan bandar lain kerana mencari rezeki.

Lambaian desa dan kampung halaman menjelang raya, sesuatu yang penuh nostalgia dan menyelinap perasaan halus yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru