Kerajaan Sarawak tegas dengan pembangunan luar bandar

KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa bertegas dan tekad untuk memastikan kawasan luar bandar mempunyai kemudahan infrastruktur yang baik sekaligus memastikan kapasiti ekonomi negeri sentiasa berkembang.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Openg berkata, kerajaan Sarawak kini mempunyai satu pendapatan kukuh iaitu hasil daripada pengenaan 5% terhadap produk gas dan minyak untuk eksport.

Justeru menurutnya lagi dana berkenaan akan disalurkan kembali kepada rakyat dalam bentuk kemudahan infrastruktur.

Beliau berkata demikian dalam satu ucapan perutusan sempena Perayaan Gawai Dayak yang disambut esok (1 Jun 2019) petang tadi.

Sehubungan itu, beliau yakin menerusi kekayaan yang ada pada Sarawak semua keperluan rakyat akan dapat disediakan sekaligus menjadikan Sarawak sebagai negeri termaju menjelang tahun 2030.

Beliau dalam pada itu menyampaikan pesanan kepada masyarakat Dayak bahawa sentiasa percaya rakyat Sarawak lebih daripada orang luar kerana rakyat Sarawak harus bekerja di antara satu dengan yang lain.