Monday, September 26, 2022

Jadikan Gawai Dayak untuk erat hubungan antara kaum Di Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mahu perayaan Gawai Dayak dijadikan landasan untuk terus mengeratkan silaturahim dalam kalangan rakyat pelbagai etnik, latar belakang dan kepercayaan.

Beliau berkata, Gawai Dayak seperti perayaan-perayaan lain di Malaysia, mengambil penting usaha membawa perasaan harmoni dan bersatu dalam kalangan rakyat Sarawak.

Perayaan Gawai Dayak katanya, lebih bermakna apabila kehidupan rakyat negeri ini khususnya Iban, Bidayuh dan Orang Ulu yang meraikannya telah banyak berubah, malah kini dapat merebut banyak peluang kerana adanya pembangunan untuk meningkatkan taraf dan gaya hidup mereka.

Menurut Tun Taib, perpaduan adalah kekuatan utama yang menjadi tunjang kestabilan dan keamanan di Sarawak, selain merupakan asas kukuh kepada pembangunan dan kemajuan sosioekonomi negeri.

“Kita bersyukur Sarawak terus aman dan damai. Keharmonian yang kita nikmati pada hari ini adalah hasil sikap toleransi dan hubungan erat dalam kalangan rakyat kita, terdiri daripada pelbagai suku kaum, budaya dan agama.

“Semangat saling mempercayai, hormat-menghormati menjadi asas kukuh kepada perpaduan rakyat Sarawak sejak dahulu lagi,” katanya dalam perutusan Hari Gawai 2019 semalam.

Tun Taib berkata, rakyat negeri ini telah bersama-sama menyaksikan Sarawak banyak berubah menjadi negeri yang paling progresif dan maju, malah pembangunan ekonomi negeri semakin aktif serta moden dalam negara bahkan rantau ini.

Beliau berkata, anak Sarawak yang datang dari luar bandar harus cuba mencari jalan dan inisiatif memajukan diri serta menghilangkan perasaan takut juga malu.

Mereka ujarnya, harus berusaha lebih dan berkawan dengan semua orang jika mahu terus ke hadapan.

Menurut beliau lagi, sekarang dapat dilihat keharmonian terjalin dalam masyarakat pelbagai kaum di Sarawak, hubungan erat antara Melayu dan bukan Melayu, Bumiputera dengan bukan Bumiputera, perkara yang seharusnya terus dipupuk untuk generasi akan datang.

“Maka sewajarnya, perayaan Gawai Dayak dianggap sebagai masa pertemuan, masa bertukar lawatan, bercampur gaul dan memahami adat resam antara satu sama lain.

“Pada keseluruhannya, kita harus menganggap perayaan tiap-tiap kaum dalam negeri ini sebagai satu masa bagi kita mengekalkan budaya kita juga mempelajari serta meraikan kebudayaan kaum lain.

“Marilah, kita sama-sama meraikan Hari Gawai Dayak dalam keadaan aman, riang dan makmur. Selamat Hari Gawai Dayak, Gayu Guru Gerai Nyamai, Lantang Senang, Nguan Menoa,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru