MARUDI: Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM200 juta bagi melebar dan menurap batu di jalan utama kawasan Tinjar.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan Sarawak YB Datu Dr Penguang Manggil berkata projek-projek ini merupakan projek yang diperlukan rakyat dalam menjadikan kehidupan lebih baik.

“Projek ini meliput jalan utama dari Pekan Lapok ke Long Aya di kawasan Tinjar di mana penduduk Kampung Long Jegan juga menggunakan jalan yang sama.

“Juga disediakan peruntukkan sebanyak RM33.6 juta untuk jalan di kampung-kampung dalam kawasan Tinjar melibatkan Kampung Long Jegan pada tahun depan,” katanya dalam ucapan sempena Pesta Balimay, Gawai Dayak 2019 yang diadakan di Kampung Long Jegan Tinjar, semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi juga meminta Ketua Kaum Kampung Long Jegan Francis Ubi untuk menulis surat bagi memohon projek seperti yang diminta dalam ucapannya.

“Untuk memastikan setiap permohonan dapat diadakan, Ketua Kaum perlu mengemukakan permohonan bertulis dengan disertakan maklumat dan kosnya bagi memudahkan kelulusan nilai peruntukkan yang sewajarnya,” tambahnya.

Permohonan ini meliputi peruntukkan menabur batu di halaman 114 pintu rumah panjang untuk tempat parkir kereta, membaik pulih bangunan gereja yang sudah uzur, membaik pulih rumah panjang yang sudah uzur, menyediakan loji untuk bekalan air paip dan mengadakan solar untuk bekalan elektrik.

Pada majlis itu, Datu Dr Penguang mengumumkan peruntukkan RM10,000 kepada Biro Wanita Rh KK Francis Ubi bagi melaksanakan program dan aktiviti untuk golongan wanita.

Turut hadir Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Datuk Robert Laing, Presiden Persatuan Berawan Sarawak Datin Catherine Awing, Ketua Kaum Kampung Long Jegan KK Francis Ubi dan Ketua-ketua Masyarakat.