Monday, September 26, 2022

Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di Sarawak mula tahun 2020

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak akan melaksanakan sesi pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris bermula tahun depan di peringkat darjah satu.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak YB Dato Sri Michael Manyin berkata perkara ini telah diputuskan sewaktu pertemuan Ketua Menteri Sarawak dan Menteri Pendidikan baru-baru ini.

“Hasil perbincangan bersama Kerajaan Sarawak dengan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), bersetuju dan memberikan sokongan penuh kepada pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

“Sebagai permulaan, Sarawak akan melaksanakan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris bermula tahun hadapan (2020) di peringkat darjah satu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Mata Pelajaran Sains dan Matematik Diajar Dalam Bahasa Inggeris di pejabatnya di sini, hari ini.

Tambah Dato Sri Michael lagi, sebanyak 1,046 sekolah rendah akan terlibat dalam pelaksanaan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

“Sarawak mempunyai 1,265 sekolah rendah dan 220 sekolah aliran Cina. Daripada 220 sekolah aliran Cina ini, hanya 7 sahaja menggunakan dua aliran (Bahasa Melayu dan Bahasa Mandarin),” tambahnya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan pelaksanaan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris ini bukanlah sebuah polisi yang wajib dilaksanakan sebaliknya ia bersifat sebagai suatu program.

“Ini boleh dikatakan agak sama dengan ‘Dual Language Programe’ (DLP) yang telah lama dipraktikkan sebelum ini. Namun, DLP ini memerlukan pelbagai syarat untuk dipenuhi seperti sekolah perlu memastikan kecermelangan dalam Bahasa Melayu, sokongan daripada ibu bapa dan guru juga perlu menyokong pelaksanaan program tersebut.

“Dalam pelaksanaan di Sarawak, kita kenalinya dengan nama ‘DLP Sarawak’ yang mana kita hanya perlu mendapatkan kelulusan daripada ibu bapa sahaja.

“Kita percaya ibu bapa akan menyokong penuh tindakan kerajaan untuk mendedahkan anak-anak mereka kepada Bahasa Inggeris,” ujarnya.

Dato Sri Michael percaya Pelaksanaan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris ini mampu menyediakan anak-anak menguasai Bahasa Inggeris sekaligus memudahkan mereka mencari peluang pekerjaan apabila dewasa kelak.

“Melalui program ini, pelajar akan terdedah kepada pembelajaran Bahasa Inggeris sebanyak 15 sesi (30 minit/ sesi) seminggu.

“Penguasaan Bahasa Inggeris juga membolehkan pelajar tampil berani untuk bercakap dalam Bahasa Inggeris.

“Untuk itu, satu sesi dialog akan dilakukan bagi memberi pendedahan kepada ibu bapa yang merasa ragu-ragu dengan program yang akan kita laksanakan ini. Begitu juga dengan ketua-ketua masyarakat digesa untuk bertemu dengan pihak Pejabat pelajaran Daerah (PPD) masing-masing untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan dengan program itu nanti,” katanya.

Hadir sama Pengarah Pendidikan Sarawak Dr. Azhar Ahmad, Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Datu William Patrick Nyigor, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Dr. Abdul Rahman Deen Ketua Sektor Akedemik JPS Dr Les Met, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Omar Mahli.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru