Dunia media sosial perlu terus menjadi platform positif

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa Facebook, dan penyedia platform lain untuk terus bekerjasama dengan kerajaan Malaysia dan agensi penguatkuasaan undang-undang dalam memastikan dunia media sosial kekal sebagai platform yang menghasilkan perubahan positif, bukannya yang negatif.

Perdana Menteri berkata semua pihak berkepentingan perlu bekerjasama untuk mengatasi cabaran teknikal serta menangani keperluan untuk perkongsian maklumat yang lebih besar ke arah penzahiran atau penemuan maklumat untuk memudahkan agensi penguatkuasa undang-undang menjalankan kewajipan mereka dengan berkesan.

Beliau berkata walaupun Malaysia telah menganjurkan internet secara bebas dan terbuka, ia perlu berada dalam lingkungan undang-undang, dan tidak boleh dalam keadaan tidak terkawal.

“”Peraturannya  mudah – apa yang haram di luar talian selalunya haram secara  dalam talian.

“Kebebasan bersuara bukan satu lesen untuk disalahgunakan, ia adalah tanggungjawab. Kebebasan bersuara tanpa mengambil kira  tingkah laku manusia yang baik akan menjadi bencana bagi mana-mana masyarakat,” katanya dalam ucapannya di pejabat Malaysia Facebook di sini, semalam.

Turut hadir  Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Pengarah Negara bagi  Facebook Malaysia Nicole Tan.

Dr Mahathir berkata satu lagi bidang untuk kerjasama yang lebih kukuh antara kerajaan dan Facebook ialah dalam Laporan Penguatkuasaan Piawaian Masyarakat.

“Sungguhpun terdapat bentuk pengiktirafan terhadap ucapan kebencian, ada bentuk ucapan lain yang berpotensi menjadi ancaman kepada keharmonian dan keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata kerajaan menyedari bahawa penyedia media sosial telah melakukan yang terbaik untuk mencari cara-cara automatik bagi mencari dan menapis catatan yang tidak sesuai menggunakan ‘User Generated Content’ (UGC) yang berkaitan dengan pornografi kanak-kanak, keganasan dan ucapan kebencian.

Cabarannya sekarang, tambah beliau adalah untuk menangani pelbagai spektrum dan kandungan UGC yang lain berkaitan dengan kepekaan agama, ucapan politik, hasutan dan juga isu hak asasi manusia, yang merupakan antara contoh. — Bernama