Monday, September 26, 2022

Denggi di Kabong – Enam kompaun dikeluarkan PKD Saratok

Secara Rawak

Sebanyak enam kompaun berkaitan dengan nyamuk aedes telah dikeluarkan oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah Saratok (PKD)setakat hari ini.

Denda tersebut dikenakan terhadap penduduk yang didapati membiarkan bekas berisi air menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes selepas diberi amaran.

Untuk setiap satu kes denda sebanyak RM500 dikenakan dan perlu dijelaskan oleh penduduk yang didapati mempuyai jentik-jentik di rumah mahupun di kawasan persekitaran rumah.

Mesyuarat jawatankuasa wabak denggi peringkat Daerah Kabong berlangsung jam 10 pagi tadi di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Kabong. Sesi laporan khas tentang wabak denggi dikendalikan oleh Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Saratok, Mohd. Buhaiqi Madi.

Menurut Buhaiqi, operasi memerangi aedes kini rancak dilakukan oleh pihak petugas jabatan kesihatan di beberapa kawasan penempatan penduduk dan sekolah.

“Petugas jabatan kesihatan kini giat melakukan penyemburan bagi membunuh jentik-jentik dan juga melakukan semburan kabus bagi membunuh nyamuk dewasa.

“Perangkap nyamuk juga dipasang bagi tujuan pemantauan. Nyamuk Aedes Aegypti ini menyerang penduduk di kawasan dalam dan juga luar rumah.

“Penduduk diingatkan agar berwaspada berjalan diluar rumah pada waktu awal pagi dan lewat petang kerana nyamuk mula melakukan serangan pada waktu itu. Gunakan baju lengan panjang bagi mengelakkan gigitan nyamuk.

” Sekiranya ada tanda-tanda demam maka cepat-cepat pergi ke klinik atau hospital untuk melakukan pemeriksaan dan juga rawatan. Jangan biar demam itu melarat dan membahayakan diri, ” ujarnya.

Hadir sama pada mesyuarat itu ialah Pegawai Kesihatan Persekitaran , Pejabat Kesihatan Betong, Rafhael Engkayau, Penghulu Haji Sani Mohammad, ketua-ketua masyarakat dan ketua jabatan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru