Monday, September 26, 2022

Sarawak lancar loji pengeluaran hidrogen bersepadu pertama di Asean

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak yakin menjadi pengeksport hidrogen dunia susulan pelancaran loji pengeluaran hidrogen bersepadu dan stesen pengisian semula, pertama di Asia Tenggara, di sini semalam.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pelabur asing berpotensi telah menunjukkan minat untuk mendirikan loji bagi menghasilkan hidrogen di sini dan membeli semula produk itu bagi menggantikan kuasa nuklear di negara mereka.

“Saya tidak boleh dedahkan maklumat terperinci memandangkan rundingan masih berjalan, dan ini mungkin menjadikan Sarawak sebagai pengeksport hidrogen dunia yang akan memberikan hasil yang lebih tinggi untuk memperkasa ekonomi untuk jangka masa panjang,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran loji dan stesen isian semula yang akan dikendalikan oleh syarikat pembangunan tenaga, Sarawak Energy dengan kerjasama anak syarikat Linde Malaysia, Linde EOX Sdn Bhd.

Loji pengeluaran pertama di negara itu mampu menghasilkan 130 kilogram hidrogen sehari, dengan ketulenan 99.999 peratus (five 9s) dan mampu membekal dan mengisi semula sel bahan api bagi lima buah bas dan 10 kereta setiap hari.

Setakat ini, Sarawak Energy mempunyai lima kenderaan sel bahan api hidrogen termasuk tiga buah bas dan dua buah kereta, yang akan diselenggara di kemudahan ini.

Beliau berkata Sarawak juga akan menyediakan lima stesen isian semula tiga dalam satu, dengan kos RM15 juta setiap satu pada hujung tahun ini.

Abang Johari berkata beliau telah mengarahkan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) supaya menyediakan stesen isian semula tiga dalam satu- bahan api fosil atau diesel, elektrik dan hidrogen- di seluruh negeri.

Setakat ini beberapa kawasan di luar bandar telah dikenal pasti untuk lima stesen isian semula tiga dalam satu itu.

Beliau berkata kerajaan negeri giat menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan telah mewujudkan Majlis Penyelidikan yang melibatkan setiap fasa aktiviti ekonomi negeri  bagi memberikan nilai tambah berasaskan sumbernya.

Majlis itu yang dipengerusikannya selaku Ketua Menteri, dianggotai pakar dan ahli sains, termasuk dari industri infrastruktur digital bagi mengendalikan kecerdasan buatan dalam sumber data seperti hidrogen untuk membolehkan ekonomi negeri seiring dengan ekonomi global, katanya.

Beliau berkata lebihan hasil yang diperoleh daripada jualan dan cukai yang dikenakan ke atas produk minyak dan gas, akan digunakan untuk mengendalikan R&D hidrogen bagi membolehkan Sarawak untuk meraih manfaat daripada lima empangannya yang menghasilkan tenaga hidro termasuk Bakun, Murum dan Batang Ai.

Tahun depan, Sarawak menjangkakan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk projek R&D, termasuk kajian berkenaan pembangunan hidrogen.

Untuk tahun ini, sebanyak RM10 juta diperuntukkan untuk R&D dalam pembangunan hidrogen di negeri itu, katanya.

“Anda tidak boleh bergantung kepada bahan api fosil kerana ia tertakluk kepada turun naik harga dan sumber yang semakin berkurangan,” katanya dan menambah bahawa Sarawak sedang menuju ke arah tenaga hijau, khususnya dalam sektor pengangkutan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru