Perniagaan terjejas susulan rusuhan di Jakarta

JAKARTA: Rusuhan pada Selasa dan Rabu  minggu lalu bukan sahaja mengorbankan lapan nyawa dan mencederakan ratusan lagi, tetapi juga menjejaskan perniagaan di sini.

Antara kawasan yang terjejas teruk ialah para peniaga kain dan pakaian di kawasan beli-belah terkenal,  Tanah Abang yang jelas kehilangan pembeli, termasuk dari Malaysia.

Mereka bimbang akan keselamatan mereka, sehingga menyebabkan Tanah Abang sepi.

Pada hari biasa kawasan ini hiruk-pikuk dengan pengunjung lebih-lebih lagi menjelang hari Raya Aidilfitri seperti sekarang.

Para peniaga menyatakan bahawa pendapatan mereka menjunam sejak rusuhan tercetus.

Bukan hanya peniaga tekstil terjejas, restoran dan kafe di sekitar juga terjejas teruk walhal pada hari biasa, inilah antara tempat warga kota dan pelancong berhimpun.

Tidak hanya itu, mal besar pun tutup pada puncak demonstrasi berlaku.

Didik, umpamanya pemilik sebuah toko di Tanah Abang menyatakan bahawa jualan dan pendapatannya menjunam teruk.

Hotel juga terjejas oleh rusuhan itu.

Banyak tetamu yang sepatutnya mendaftar masuk, tidak berbuat demikian kerana takut akan keselamatan mereka.

Ini menyebabkan kerugian besar industri perhotelan.

Setakat mana kesannya terhadap  industri pelancongan belum dapat dipastikan ketika beberapa negara asing memberi peringatan kepada warganegara mereka supaya berhati-hati ketika di ibu kota 12 juta jiwa itu susulan rusuhan yang tercetus.

Rusuhan berlaku kerana penyokong Prabowo Subianto yang tewas di tangan Jokowi melampiaskan rasa kecewa dengan turun ke jalanan.