KUCHING: Dalam usaha untuk mengukuhkan pendapatan, pemain Industri disaran untuk tingkatkan lagi teknologi dari segi pengoperasian mereka agar sektor perkayuan dapat dikembangkan.

Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, pemain industri perlu tingkatkan teknologi dan lakukan pengubahsuaian dari segi operasi mereka kerana produk kayu yang ada pada masa sekarang tidak seperti sektor perkayuan pada zaman dahulu.

Tambahnya, pada masa ini, sebagai salah satu organisasi , mereka tidak dapat bergantung seratus peratus kepada premium pembalakkan untuk mengukuhkan pendapatan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA).

Namun, mereka akan terus menerokai lagi bidang perniagaan dan pelaburan dalam sektor yang lain dan tidak semestinya menerusi sektor perkayuan semata-mata.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan PUSAKA dan Anak-Anak Syarikat PUSAKA di Dewan Seminar PUSAKA Wisma Sumber Alam, Kuching, semalam.

Menurut Awang Tengah yang juga Pengerusi Lembaga Pengurusan PUSAKA, bagi memastikan industri perkayuan masih lagi relevan pemain industri perlu membuat pembaharuan untuk mengembangkan ekonomi.

Sehubungan itu beliau berkata, lesen-lesen pembalakkan tidak akan dikeluarkan kecuali di kawasan yang telah dikenalpasti dapat dibangunkan seperti pembangunan tanah NCR ataupun projek-projek kerajaan.