SARIKEI: Setiap tahun empat buah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina mengadakan sukan sekolah tahunan secara bersama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong YB Datuk Ding Kuong Hiing berkata keunikan ini tidak ada di tempat lain dan ini suatu yang harus diteruskan.

“Inilah keunikan yang ditunjukkan empat buah SJK (C) Tong Hua, SJK (C) Yong Kwong, SJK (C) Nang Hua dan SJK (C) Kung Cheng pada hari ini.

“Ini disebabkan sekolah-sekolah ini tidak mempunyai murid yang ramai selain kekurangan kemudahan.

“Dengan adanya kerjasama ini membolehkan setiap tugas dan peranan dapat dilaksanakan secara bersama selain mengeratkan hubungan sesama sekolah, guru dan murid,” katanya semasa merasmikan Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah anjuran SJK (C) Tong Hua, Nang Hua, Yong Kwong dan Kung Cheng di Kompleks Sukan Bintangor, semalam.

Tambah Datuk Ding Kuong Hiing lagi, adalah diharapkan kejohanan sukan sekolah ini akan dapat melahirkan atlet pelapis dan mengharumkan nama Daerah Meradong suatu hari nanti.

“Saya berharap guru-guru besar dan cikgu akan meneruskan usaha dengan mendidik murid-murid walaupun jumlahnya tidak ramai tetapi tetap mengutamakan akademik dan kokurikulum,” tambahnya.

Beliau turut menyampaikan sumbangan RM2,000 kepada setiap empat buah SJK bagi membiayai perbelanjaan penganjuran sukan sekolah itu.

Hadir sama Guru Besar SJK (C) Tong Hua Ting Kah Cheng, SJK (C) Yong Kwong Ting Yii San, SJK (C) Nang Hua Ha Tiing Ngie dan SJK (C) Kung Cheng Chiew Hua Kiing.