KABONG: Sebanyak 12 kes demam denggi dilaporkan berlaku di sini menyebabkan kawasan ini kini diklasifikasi sebagai Red Zon ataupun Zon Merah.

Pegawai Epid.Pejabat kesihatan Bahagian Betong, Dr. Pauline Robert Ero
memberitahu kawasan Kampung Wawasan, Kampung Sungai Benang, Kampung Hulu dan Kampung Lintang kini dilabel sebagai Hotsport Wabak.

Sehubungan dengan itu satu sesi gotong-royong khas akan diadakan di sini bermula jam 8 pagi esok ( 25 Mei)

Gotong-royong tersebut akan turut disertai oleh ADUN Kabong, Mohd. Chee Kadir.

Menurut Chee pada masa kini pihak jabatan kesihatan giat melaksanakan kerja-kerja semburan kabus bagi membunuh dan membanteras penularan penyakit tersebut dalam kalangan penduduk.

Katanya pihak jabatan kesihatan melakukan semburan kabus di kawasan terlibat sekerap 3 hari sekali.

Sehubungan dengan itu Chee berharap penduduk akan dapat meluangkan masa dan turun beramai-ramai bagi menjayakan gotong-royong esok.

Dalam sesi gotong-royong esok sasaran utama adalah memusnahkan tempat pembiakan nyamuk.