KUCHING: Polis sedia melindungi mangsa penipuan along atau pemberi pinjaman wang tidak berlesen sekiranya mendapat ugutan jenayah atau ancaman keselamatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata ia susulan laporan dari mangsa yang mendakwa dikenakan ‘bunga’ (faedah) yang tinggi mencecah sehingga 50 peratus dari jumlah pinjaman.

Menurutnya, perkara tersebut menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan Seksyen 29A Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

“Tidak ada sesiapa boleh menunjukkan perangai samsengnya dengan melakukan kekerasan atau menganggu keselamatan orang lain.

“Sekiranya ada peminjam yang dikasari, anda harus berani tampil melaporkan kepada kita dan segala maklumat anda akan dirahsiakan serta keselamatan anda akan dipantau polis.

“Kita ada undang-undang yang harus dikuatkuasakan,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak hari ini.

Mustafa Kamal memberitahu sehingga hari ini, seramai sembilan along ditangkap daripada 13 laporan polis yang dibuat sejak awal tahun.

“Bagi tahun ini, sebanyak 13 laporan direkodkan yang melibatkan kerugian mencecah RM100,000.

 

“Daripada jumlah tersebut, enam telah didakwa dan masih dalam perbicaraan,” katanya.

Terbaharu, dua lelaki berusia 27 dan 38 tahun disyaki along ditangkap di sebuah kedai makan di Central Park, di sini, pada Selasa.

“Siasatan masih dijalankan dan kedua-dua suspek akan ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan pinjaman wang daripada institusi yang sah dan berdaftar.

Sebarang pertanyaan dan maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi JSJK Sarawak di talian 014-2111222.

“Bukan sahaja JSJK yang akan bertindak tegas terhadap mereka (along), malah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) juga akan bekerjasama,”  tegas Mustafa.

Sementara itu, Mustafa Kamal turut memohon kerjasama orang ramai untuk mengesan 96 orang dikhendaki di seluruh negeri bagi membantu siasatan.

“Kesemua 96 individu terbabit merupakan warga tempatan yang terlibat kes tipu (78 kes), pecah amanah (14 kes), Akta Jenayah Komputer (2 kes), salahguna harta (1 kes) dan kes VCD lucah (1 kes).

“Paling dikhendaki setakat ini adalah suspek dikenali sebagai Mohd Azlan Mat Muda yang terlibat kes tipu pelancongan membabitkan kerugian mencecah RM126, 983,” kata Mustafa.

Senarai nama 96 orang dikehendaki polis akan dimuat naik di akaun rasmi Facebook JSJK Sarawak dalam waktu terdekat.