KUALA LUMPUR: Tempoh reman wanita Nigeria dan lelaki Pakistan yang disyaki terlibat dalam kes bunuh Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Kamarudin, disambung selama seminggu sehingga 29 Mei ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata bagaimanapun permohonan untuk menyambung tempoh reman suspek lelaki warga Nigeria pula akan dibuat esok di Mahkamah Sepang.

“Siasatan berhubung kes ini masih lagi dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Pada 15 Mei, Siti Kharina, 40, dijumpai dibunuh di unit kondominium yang disewanya di Cyberjaya dengan kesan kelar di dada, leher dan kepala.

Berikutan itu, polis menahan tiga individu disyaki terlibat kes itu, iaitu dua lelaki masing-masing rakyat Nigeria dan Pakistan serta seorang wanita Nigeria dengan tempoh reman kesemua mereka akan berakhir semalam.

Ketua Jururawat itu dilapor hilang 8 Mei lepas setelah kali terakhir dilihat di tempat letak kereta Hospital Serdang pada 4 petang hari yang sama.–BERNAMA