SARIKEI: Orang awam seharusnya memanfaatkan penubuhan Ombudsman ini dengan memberikan pandangan yang konstruktif atau aduan tentang mutu penyampaian perkhidmatan awam Sarawak.

Menteri Di Jabatan Ketua Menteri (Integriti & Ombudsman) YB Datuk Talib Zulpilip berkata platform ini seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh orang awam dengan menyalurkan atau membuat sebarang aduan ke Kementerian Integriti dan Ombudsman Negeri (UNION).

“Kerajaan Sarawak akan terus mempergiatkan lagi usaha untuk membudayakan integriti dalam semua sektor masyarakat.

“Semua langkah ini diharapkan dapat membendung salah laku, jenayah serta pelanggaran tatakelakuan dan etika organisasi.

“Semua aduan yang diterima akan diteliti dan disiasat berdasarkan amalan International Ombudsman iaitu kebebasan, berkecuali, kesaksamaan, kerahsiaan dan informal,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Jelajah Integriti Daerah Meradong Siri 1/2019 anjuran Unit Integriti dan Ombudsman Negeri (UNION) di Masjid Darul Taqwa, Bintangor, semalam.

Justeru, katanya orang awam perlu memainkan peranan lebih objektif, konstruktif dan profesional demi meningkatkan mutu perkhidmatan awam.

Datuk Talib berkata, Ketua Menteri Sarawak YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sangat menitikberatkan tentang budaya integriti di dalam setiap sudut.

“Ketua Menteri sangat menitikberat budaya integriti di kalangan setiap masyarakat khususnya di Sarawak.

“Untuk itu, beliau telah menggariskan dengan jelas hala tuju gerakan pembudayaan integriti yang komprehensif semasa Majlis Amanat Perdana Integriti 2019 (MAPI2019) pada 11 Februari 2019 lepas.

“Hasilnya, Kerajaan Sarawak telah berjaya melahirkan seramai 43 orang Pegawai Integriti Bertauliah atau “Certified Integrity Officer” (CeIO) termasuk Sepuluh (10) orang sebelum ini. Semua mereka ditempatkan di pelbagai Kementerian, Jabatan, Pentadbiran Bahagian, Badan-badan Berkanun serta beberapa syarikat berkepentingan kerajaan bagi memastikan integriti, ketelusan dan tadbir urus yang baik,” jelasnya.

Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak juga telah mengeluarkan pekeliling mengenai penubuhan serta terma rujukan Jawatankuasa Anti-Rasuah (JAR) untuk Kementerian, Bahagian dan Jabatan di Sarawak.

“Kerajaan Sarawak telah menubuhkan Unit Integriti di setiap Kementerian, Jabatan dan Agensi untuk memastikan penjawat awam mengamalkan budaya kerja unggul dengan ciri-ciri moral dan etika yang kukuh serta meningkatkan semangat patriotik,” ujarnya.

Selepas merasmikan Jelajah Integriti Daerah Meradong Datuk Talib telah menyampaikan sumbangan bubur lambuk kepada orang ramai.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong YB Datuk Ding Kuong Hiing, wakil Pengarah Unit Integriti & Ombudsman Zulhairy Zaidel, wakil Residen Bahagian Sarikei SAO Nurarshiqin Abdul Rahman, Pegawai Daerah Meradong Badjuri Bidin, Ketua-ketua Jabatan dan Ketua-ketua Masyarakat.