Friday, December 3, 2021

Keluasan tanaman kelapa sawit seluas 1.57 juta hektar di Sarawak

Secara Rawak

LUNDU: Sehingga akhir tahun 2018, Sarawak telah mencatat keluasan tanaman kelapa sawit sebanyak 1.57 juta hektar.

Menurut Menteri Muda Pembangunan Tanah Adat YB Datuk Roland Sagah Wee Inn, keluasan ini telah menjadikan Sarawak berjaya mengatasi Sabah sebagai negeri yang mempunyai keluasan tanaman kelapa sawit terbesar di Malaysia.

“Dari jumlah tersebut, sektor pekebun kecil telah merekodkan keluasan sebanyak 226,417 Hektar.

“Pekebun kecil merupakan nadi penting di dalam pembangunan penanaman sawit dalam usaha kerajaan meningkatkan pertumbuhan ekonomi masyarakat luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penutupan Program Taklimat Pembangunan Tanah Adat Bumiputera (NCR) dan Pelaksanaan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Kepada Pekebun Kecil Tanaman Kelapa Sawit Bagi Daerah Lundu di SALCRA Bajo Training Centre, semalam.

Jelas Datuk Roland Sagah lagi, Kerajaan Sarawak telah menyasarkan tanaman sawit sebanyak 2 juta hektar pada tahun 2020.

“Untuk mencapai sasaran ini, Kerajaan Sarawak telah memberi tumpuan kepada pembangunan tanah NCR.

“Sebanyak 828,00 hektar tanah NCR yang masih belum diusahakan dengan pembangunan tanaman sawit atau tanaman lain.

“Sejak tahun 2016, Kerajaan Sarawak telah mengeluarkan arahan untuk tidak lagi mengeluarkan Provitional Lease (PL) di atas tanah kerajaan kepada syarikat-syarikat swasta untuk penanaman sawit,” jelasnya.

Bercakap tentang taklimat berkenaan, beliau berkata ini merupakan kali pertama ianya diadakan untuk tahun 2019 dan telah ditambah baik dari sebelumnya.

“Program kali ini melibatkan beberapa agensi seperti Jabatan Tanah dan Survei, Jabatan Hutan, NREB dan MPOB supaya penerangan yang lebih jelas dapat diberi lebih-lebih lagi tanah yang digunakan untuk tanaman kelapa sawit adalah tanah Hak Adat Bumiputera.

“Tanah berstatus NCR perlu disahkan Jabatan Tanah dan Survei sebagai salah satu syarat untuk mendapatkan pensijilan dari MSPO,” ujarnya.

Berkenaan MSPO, beliau turut menjelaskan ianya diperkenalkan bagi tujuan memenuhi standard antarabangsa, kualiti dan penjenamaan serta strategi kerajaan menangani kelestarian alam sekitar.

“MSPO penting sebagai strategi kerajaan untuk menangani isu-isu pihak tertentu terutamanya mengenai kelestarian alam sekitar yang akan memberi kesan negatif terhadap potensi industri sawit negara.

“Oleh itu, MSPO merupakan usaha berterusan oleh kerajaan bagi memperkasa kemampanan komoditi keluaran sawit negara. Melalui pensijilan MSPO, masyarakat dunia akan mengetahui minyak sawit yang mereka gunakan telah diusahakan secara mampan.

“Kerajaan Sarawak telah membiayai 100 peratus kos pensijilan MSPO untuk pekebun kecil. Bagi pelaksanaan MSPO bagi pekebun kecil, MPOB telah diberi mandat oleh kerajaan bagi memastikan semua pekebun kecil dapat pensijilan menjelang 1 Disember 2019.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar YB Dato Ranum anak Mina dan Presiden Persatuan Penanam Kelapa Sawit Dayak Sarawak (DOPPA) Dr Richard Mani Banda.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru